B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


KLIA antara 10 lapangan terbang terbaik dunia

KLIA antara 10 lapangan terbang terbaik dunia

15 Mac 2021

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dinamakan sebagai antara 10 lapangan terbang utama dunia dalam tinjauan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ).

Pengiktirafan untuk KLIA oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) adalah bagi kategori melebihi 40 juta penumpang tahunan (mpaa) bagi tahun 2020.

Pengumuman kejayaan KLIA awal bulan ini turut disokong usaha berterusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan meskipun persekitaran perniagaan masih berdepan dengan kesan COVID-19.

“Walaupun, trafik penumpang kekal rendah disebabkan sekatan berterusan perjalanan domestik dan antarabangsa dengan hanya 1.6 juta penumpang direkodkan pada Februari, MAHB terus melaksanakan projek kritikal di lapangan terbang.

“Antaranya, pengubahsuaian bilik air, pembentukan pasukan kecemerlangan operasi bagi mengenalpasti dan membentuk inisiatif serta pengenalan kepada Exceptional People Practice Playbook,” demikian menurut MAHB dalam satu kenyataan, hari ini.

ASQ menanda aras lapangan terbang terbaik dunia dari segi kepuasan keseluruhan penumpang bagi aspek keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan.

MAHB berkata, inisiatif yang dilaksanakan itu menyaksikan KLIA meningkatkan skornya dengan ketara dan mencapai skor tahunan 4.98 berbanding 5.00 pada 2020.

Tahun lalu, KLIA berada pada kedudukan ke 17 dengan skor 4.76.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata sebagai pengendali lapangan terbang global, MAHB didorong oleh keyakinan dan kepuasan penumpang terhadap kemudahan serta perkhidmatannya.

“Tahun ini, penumpang boleh menikmati perjalanan lebih baik termasuk tempoh menunggu lebih pendek dan teknologi pengecaman wajah yang menjadi sebahagian daripada transformasi digital Airports 4.0,” katanya.

Mohd Shukrie, berkata MAHB kekal optimistik dengan ketahanan permintaan perjalanan udara.

“Kami melihat kebangkitan semula yang kukuh ketika sekatan perjalanan ditamatkan sebelum ini dan untuk itu, kami akan terus memperkemaskan penawaran kami.

“Dengan terus mengetahui permintaan penumpang dan industri penerbangan yang terus berkembang, ia akan membantu kami untuk maju dalam persaingan pasaran dengan kami berhasrat untuk berada di dalam kelompok lima lapangan terbang terbaik tahun ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon