B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kilang FamilyMart Malaysia siap suku pertama 2022

Kilang FamilyMart Malaysia siap suku pertama 2022

09 Nov 2021

QL Resources Bhd (QL), pemegang francais induk FamilyMart Malaysia melabur RM100 juta bagi membangunkan kemudahan baharu dalam usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran produk sedia dimakan.

Pengarah Eksekutif QL, Chia Lik Khai, berkata kemudahan baharu yang terletak di Shah Alam itu dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2022.

Beliau berkata, ia juga akan membolehkan kumpulan memenuhi lebih banyak permintaan pengeluaran seiring dengan pelan pembukaan cawangan baharu FamilyMart di Malaysia.

“Ketika ini, kemudahan sedia ada kami mampu melayani permintaan untuk 250 cawangan FamilyMart dan apabila kemudahan baharu ini siap sepenuhnya tahun depan, ia berpotensi meningkatkan permintaan sehingga dua kali ganda sekitar 500 cawangan.

“Ia juga membolehkan QL memenuhi sasaran penambahan jumlah cawangan baharu FamilyMart sekitar 80 hingga 100 cawangan setiap tahun atau sebanyak 1,000 cawangan menjelang 2026.

“Malah, kemudahan baharu dan penambahan cawangan FamilyMart akan turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya selepas melancarkan cawangan ‘Food Superstore’ di sini, hari ini.

Lik Khai berkata, kemudahan pengeluaran baharu itu juga akan membolehkan kumpulan mengeluarkan lebih banyak produk unit simpanan stok (SKU) seiring dengan permintaan pelanggan.

Beliau berkata, QL sentiasa melaksanakan inovasi memperkenalkan produk SKU baru secara bermusim dan kekal dengan sasaran lima hingga 10 produk baharu setiap bulan.

Katanya, ketika ini FamilyMart Malaysia mempunyai lebih 100 produk SKU yang kesemuanya mendapat pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Mengenai cawangan ‘Food Superstore’, beliau berkata FamilyMart Malaysia menyasarkan membuka 20 cawangan kedai serbaneka terbabit menjelang akhir tahun ini.

Katanya, ‘Food Superstore’ adalah gabungan cawangan baharu dan juga menaik taraf cawangan sedia ada.

“Kami mahu setiap negeri di Semenanjung mempunyai sekurang-kurangnya satu cawangan ‘Food Superstore’.

“Cawangan ‘Food Superstore’ lebih menarik kerana menjual produk sedia di makan secara sejuk beku, membolehkan pelanggan membawa pulang dan disimpan dalam tempoh yang lebih lama,” katanya.

Dalam pada itu, Lik Khai berkata kumpulan sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di masa hadapan.

Beliau berkata, FamilyMart Malaysia turut menjual produk sejuk beku dan sedia di makan daripada rakan niaga.

“Kami terbuka untuk bekerjasama, terutama dengan PKS tempatan. Ini dapat bersama membantu meningkatkan rantaian nilai serta pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X