Key Alliance rancang peroleh 30 peratus kepentingan dalam Tree Med - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Key Alliance rancang peroleh 30 peratus kepentingan dalam Tree Med

Key Alliance rancang peroleh 30 peratus kepentingan dalam Tree Med

21 Dis 2020

Key Alliance Group Bhd merancang untuk memperoleh 30 peratus kepentingan dalam pembekal peranti perubatan tempatan, Tree Med Sdn Bhd pada harga RM14 juta.

Pengarah Urusan Key Alliance, Roy Ho dalam satu kenyataan hari ini berkata apabila selesai kelak, pengambilalihan itu akan meletakkan kumpulan sebagai peneraju lengkap dalam pasaran pembekal perubatan membabitkan diagnostik in-vitro termasuk membuka peluang kepadanya bagi menyertai jualan vaksin dan produk makmal pada masa hadapan. 

“Skop kami tidak akan terhad kepada vaksin COVID-19 sahaja tetapi merangkumi vaksinasi influenza yang dibuat secara tahunan,” katanya lagi. 

Tree Med mempunyai semua lesen yang berkaitan seperti lesen Pihak Berkuasa Peranti Perubatan, Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Syarikat itu juga berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, serta kini membekalkan mesin ujian “Polymerase Chain Reaction” (PCR), bahan pakai buang dan reagen kepada KKM. 

Selain itu, Tree Med juga membekalkan kit ujian antigen dan PCR kepada KKM, serta kepada badan-badan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial, Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan termasuk 500 klinik swasta, hospital swasta dan makmal swasta di seluruh Malaysia.

Tree Med juga menyediakan produk dan perkhidmatan membabitkan plasma darah, kit ujian denggi dan HIV kepada pelanggan yang sama di seluruh Malaysia. 

Dengan perjanjian ini, Key Alliance secara automatik akan dapat membekalkan kit RT PCR CareGene melalui rangkaian Tree Med untuk disediakan kepada KKM dan agensi kerajaan yang lain, serta klinik dan makmal perubatan sektor swasta.

Kumpulan juga akan berada pada kedudukan yang baik bagi meneroka pembekalan dan pengedaran vaksin COVID-19 memandangkan Tree Med memiliki lesen farmaseutikal yang membolehkannya mengimport serta mengedarkan vaksin.

Menurut Key Alliance lagi, ia sedang dalam perbincangan dengan pelbagai pengeluar dan berada dalam kedudukan terbaik untuk menjadi pengedar tempatan bagi agihan ke klinik, hospital swasta dan awam serta agensi kerajaan. 

Kumpulan itu juga berada dalam perbincangan dengan Tree Med untuk melihat kemungkinan pengeluaran produk dan perkhidmatan tertentu dalam industri perubatan bagi menurunkan kos ujian COVID-19, termasuk produk hematologi dan bahan pakai buang yang lain, yang berkaitan dengan bidang diagnostik in-vitro.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon