B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan terus menyokong perkhidmatan logistik bersepadu, tawarkan ILS, IILS

Kerajaan terus menyokong perkhidmatan logistik bersepadu, tawarkan ILS, IILS

30 Sep 2021

Kerajaan akan terus menyokong pertumbuhan syarikat yang menjalankan perkhidmatan logistik bersepadu dengan menawarkan insentif Perkhidmatan Logistik Bersepadu (ILS) dan status Perkhidmatan Logistik Bersepadu Antarabangsa (IILS).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lim Ban Hong berkata berdasarkan rekod Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sejak 2006 sehingga Mac 2021, terdapat 271 syarikat sektor logistik di seluruh negara diluluskan insentif ILS, manakala 212 syarikat lagi diluluskan status IILS.

“Dalam perkara ini, terdapat dua syarikat dari Sabah telah diluluskan insentif tersebut, namun tiada syarikat dari Sabah yang memperolehi status IILS,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) mengenai usaha yang telah digerakkan bagi mewujudkan pelaburan baharu dalam bidang logistik di negeri Sabah.

ILS merujuk kepada syarikat yang melakukan pelbagai aktiviti perkhidmatan berkaitan logistik daripada hujung ke hujung seperti pengangkutan udara, laut, darat dan kereta api, pergudangan dan perkhidmatan serta tambah nilai lain yang membentuk keseluruhan pakej perkhidmatan logistik.

Mengulas lanjut, Lim berkata kerajaan melalui MITI dan MIDA juga telah mengadakan program libat urus dengan syarikat-syarikat logistik di Sabah untuk berkongsi maklumat mengenai fasiliti dan insentif yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Dari segi pembangunan infrastruktur, beliau berkata kerajaan Persekutuan telah menyalurkan dana di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) berjumlah RM395 juta untuk projek pembangunan Terminal Pelabuhan Kontena di Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu.

Menurutnya ia boleh meningkatkan kapasiti pengendalian kontena sehingga 50,000 unit bersamaan kontena 20 kaki (TEU) setahun. Lim berkata di bawah RMK12, kerajaan Persekutuan dianggarkan memperuntukkan RM1.027 bilion bagi projek pembesaran Pelabuhan Sapangar Bay yang dijangka meningkatkan kapasiti pengendalian kontena sehingga 875,000 TEU setahun menjelang 2024.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X