Kerajaan serius, komited teruskan dasar properniagaan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan serius, komited teruskan dasar properniagaan

Kerajaan serius, komited teruskan dasar properniagaan

15 Jan 2023

Malaysia serius dalam menambah baik aspek mudah menjalankan perniagaan di negara ini dan Kerajaan Perpaduan komited terhadap dasarnya yang properniagaan.

Itu adalah antara mesej utama yang akan dikongsikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan bakal pelabur di Davos, Switzerland.

Menerusi sesi libat urus beliau dengan dewan perniagaan dan kumpulan pelabur, satu isu penting yang dikenal pasti adalah aspek memulakan dan menempatkan perniagaan di Malaysia yang boleh dipermudah lagi, katanya.

“Kita mahu menjelaskan kepada pelabur bahawa kita bukan hanya terbuka untuk perniagaan, malah juga menambah baik proses supaya lebih memudahkan aspek menjalankan perniagaan di sini.

“MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) juga mahu meletakkan Malaysia sebagai negara yang strategik dan destinasi pelaburan berkualiti, dan mempunyai kredibiliti sebagai pintu masuk ke Asia Tengara,” katanya kepada Bernama menjelang penyertaannya dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos yang akan berlangsung pada 16 hingga 20 Januari 2023.

Bersama-sama dengan penyertaan korporat Malaysia yang positif, MITI dan agensinya menyasar untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik dan boleh dipercayai, menerusi penyertaan di forum terkemuka dunia itu.

Antara sesi berjadual yang akan disertai Tengku Zafrul adalah mengenai kos fragmentasi ekonomi, rantaian bekalan dan pengangkutan serta sesi bertajuk ‘Living with Risk’ dengan beliau akan menjadi antara tiga ahli panel.

Beliau juga akan berkongsi pandangan dalam sesi panel dua orang bagi mengupas ‘Global Trade: Navigating The Post Pandemic Supply Chain Challenge’ bersama-sama dengan Pengerusi Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif DP World yang berpangkalan di Dubai, H.E. Sultan Ahmed Bin Sulayem.

Sesi itu akan menumpukan sama ada kuasa makroekonomi seperti inflasi, ketegangan geopolitik, lonjakan harga komoditi, gangguan rantaian bekalan dan kekangan kapasiti, akan berterusan sehingga 2023 dan cara untuk syarikat boleh mencipta rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.

Agenda penyertaan MITI kali ini adalah untuk mengangkat suara Malaysia di persada antarabangsa dan berkongsi hala tuju dan dasar-dasar negara dari segi pelaburan, perdagangan dan pemerkasaan industri.

Sehubungan itu, WEF dilihat sebagai antara platform terbaik kerana ia dianjurkan pada awal tahun.

Tengku Zafrul berkata Malaysia boleh mengetengahkan perkara yang menjadi agenda ekonomi negara.

“Saya serta rakan-rakan sejawatan dari negara lain berpeluang bertukar pandangan tentang cabaran yang bakal dihadapi pada 2023 dan persiapan untuk berhadapan dengannya,” katanya.

WEF juga memberi peluang untuk bertemu dengan pemimpin koporat kerana sektor swasta juga akan berada di sana terutama syarikat multinasional untuk melabur di Malaysia atau yang merancang meningkatkan pelaburan sedia ada.

Dari segi persediaan kali ini, pihak MITI dan agensi utama seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan InvestKL melakukan persiapan yang cukup dalam mengatur pertemuan strategik dengan rakan sejawatan dari Korea Selatan, Jepun, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) serta peserta industri antarabangsa utama sektor pendigitalan, teknologi, ekuiti swasta, pengilangan dan perubatan.

Di samping penyertaan MITI, WEF juga akan menyaksikan sektor korporat dari Malaysia terutama wakil daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Khazanah Nasional Bhd.

“Ini penting untuk kita menyampaikan satu mesej yang jelas bahawa pihak kerajaan dan juga pihak swasta Malaysia bersedia bekerjasama secara strategik untuk menarik pelaburan berimpak tinggi dan membawa ekonomi negara ke tahap yang lebih baik,” kata Tengku Zafrul.

Beliau berkata, justeru di Davos, kerajaan dan sektor swasta mesti mendorong keyakinan terhadap Malaysia.

“Kadang-kadang kita terlalu cepat berputus asa atau bimbang tidak berjaya. Kita mesti menunjukkan kita sebagai pihak yang bersatu dan mendukung kualiti terbaik Malaysia.

“Ia adalah pendekatan negara secara menyeluruh, dengan syarikat swasta bersama sektor kerajaan memastikan kepentingan Malaysia sentiasa terjaga,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon