B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan Jamin Sistem Kewangan Teratur, Teruskan Langkah Belanjawan 2021

Kerajaan Jamin Sistem Kewangan Teratur, Teruskan Langkah Belanjawan 2021

12 Jan 2021

Kerajaan hari ini memberi jaminan kepada rakyat dan pelabur bahawa pentadbiran negara sentiasa disokong oleh sistem kewangan teratur, termasuk pasaran kewangan dan modal.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi jaminan tersebut susulan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi ini bagi mengekang penularan COVID-19 serta pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Dalam kenyataan hari ini, Tengku Zafrul juga menegaskan bahawa kerajaan akan terus melaksanakan langkah-langkah dalam Belanjawan 2021 bagi memastikan Malaysia kekal di landasan pemulihan pada tahun ini.

“Apa yang lebih penting, kita mempunyai kecairan domestik yang mencukupi bagi rangsangan fiskal tambahan untuk menyokong kehidupan, mata pencarian dan perniagaan, jika perlu,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan juga telah mula mempertimbangkan pelbagai langkah untuk mendokong rakyat dan perniagaan sepanjang tempoh terbabit dan tidak akan berkompromi dalam soal membabitkan kelangsungan hidup rakyat serta perniagaan.

Selain itu, asas ekonomi Malaysia yang mantap akan terus membolehkan kerajaan bertindak secara berkesan terhadap persekitaran penuh cabaran dan terus mempertahankan pertumbuhan serta ketahanan ekonomi.

“Saya ingin menekankan bahawa kerajaan tetap komited untuk membina momentum pemulihan semasa dan memastikan kemampanan jangka panjang bagi kedudukan kewangan awam dan ekonomi negara,” kata beliau.

Menurut Tengku Zafrul, pasaran modal Malaysia juga akan terus beroperasi bagi menyokong dan memudah cara proses pengumpulan dana, perdagangan dan pelaburan dengan semua fungsi pengawalseliaan yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKP, PKP Bersyarat (PKPB), PKP Pemulihan (PKPP) dan Ordinan Darurat.

Beliau turut menegaskan bahawa kesinambungan operasi pasaran modal adalah penting untuk menyokong ketahanan dan pemulihan ekonomi negara serta membantu pelabur menguruskan peluang dan risiko pelaburan dalam tempoh tersebut.

“Saya ingin menekankan bahawa Malaysia mempunyai ekosistem pasaran modal yang berdaya tahan, yang disokong oleh kecairan yang tinggi. Terdapat mekanisma pengurusan pasaran tersedia untuk mengawal (keadaan) turun naik.

“Dana pelepasan serta susun atur margin dan simpanan juga sedia ada untuk memastikan risiko penyelesaian dan pelepasan yang sentiasa terurus,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul turut memberi jaminan bahawa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan semasa demi pengurusan risiko secara proaktif di pasaran dan akan melaksanakan langkah pencegahan tambahan mengikut kesesuaian.

Dari segi intermediasi kewangan dan sistem pembayaran, operasi institusi kewangan dan pasaran kewangan akan turut diteruskan seperti biasa dengan perkhidmatan terus tersedia dan boleh diakses oleh peminjam.

Menurutnya, Bank Negara Malaysia akan memantau keadaan pasaran kewangan bagi memastikan mudah tunai mencukupi dalam pertukaran asing, pasaran bon dan pasaran wang (termasuk repo) mencukupi serta keadaan pasaran kekal teratur.

“Penampan sistem perbankan Malaysia dan amalan pengurusan risiko yang mantap dijangka mampu mengurangkan kesan sebarang potensi penurunan kualiti kredit dan terus menyokong pemberian pinjaman oleh bank kepada ekonomi ketika tempoh Ordinan Darurat dan pelaksanaan PKP pelbagai peringkat ini,” kata beliau.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X