B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kelantan negeri pertama bina Taman Perindustrian IBS

Kelantan negeri pertama bina Taman Perindustrian IBS

17 Okt 2021

Kelantan bakal menjadi negeri pertama mewujudkan Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) di negara ini dengan peruntukan berjumlah RM74 juta.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Taman Perindustrian IBS seluas 81 hektar itu akan dibina di Sungai Bagan, Machang, dalam masa terdekat dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Beliau berkata, ia akan mengumpulkan pengusaha produk pembinaan, terutama yang berkaitan IBS dan teknologi baru muncul (emerging technologies), sekali gus menjadi pusat rujukan setempat bagi mempertingkat kapasiti serta keupayaan industri pembinaan di Pantai Timur.

“Pembangunan Taman Perindustrian IBS ini selari dengan Dasar Pembinaan Negara 2030 dan akan dibangunkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Ia secara langsung dapat memperkukuhkan jaringan ekosistem IBS di Malaysia, seterusnya meningkatkan bilangan penggiat IBS terutama dalam kalangan Bumiputera serta usahawan kecil dan sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Kelantan dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia) Mengenai Usaha Sama Bagi Membangunkan Taman Perindustrian IBS Di Kelantan, di sini, hari ini.

MoU itu ditandatangani Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad, dan Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ahmad ‘Asri Abdul Hamid, dengan disaksikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Fadillah; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, Taman Perindustrian IBS akan turut dibangunkan di beberapa negeri lain, sekali gus membantu keseluruhan ekosistem sektor pembinaan di Malaysia.

Beliau berkata, kerjasama dijalinkan mencakupi khidmat nasihat teknikal dari segi reka bentuk, pengilangan dan pemasangan IBS, serta pemindahan teknologi sistem terbuka.

“Ia selaras hasrat meningkatkan dan memperkembang penggunaan kaedah pembinaan IBS yang bermula 25 Februari 2018 dengan pemeteraian kerjasama CIDB Malaysia melalui anak syarikat, CIDB IBS Sdn Bhd, dengan Persatuan Kontraktor Perumahan Kelantan (PKPK) untuk membangun serta memperluaskan penggunaan IBS dalam sektor pembinaan rumah, khususnya di Kelantan.

“Hasil kerjasama antara CIDB IBS dengan PKPK itu telah menjadi pemangkin bagi projek pembinaan di Kelantan mengguna pakai kaedah pembinaan IBS.

“Pada masa sama, ia juga menjadi titik tolak kepada pihak Kerajaan Kelantan yang berhasrat mengembangkan ruang lingkup kerjasama secara lebih meluas kepada usahawan di negeri ini, terutama dalam sektor pembinaan, melalui cadangan pembinaan Taman Perindustrian IBS,” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah memaklumkan, pelaksanaan Program Kecemerlangan IBS bakal memberi peluang pekerjaan kepada lebih 3,500 sumber manusia.

“Penggunaan IBS secara menyeluruh juga dapat membantu dari segi pengurusan kos pembinaan perumahan, selain harganya lebih kompetitif.

“Insentif IBS akan disemak semula untuk menggalakkan pemaju menggunakan teknologi itu bagi mempertingkat kualiti dan kecekapan serta mengawal kos,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon