B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


KDNK Malaysia dijangka catat pertumbuhan tertinggi di ASEAN – Firma penyelidikan

KDNK Malaysia dijangka catat pertumbuhan tertinggi di ASEAN – Firma penyelidikan

09 Feb 2023

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan mencecah 8.4 peratus bagi tahun kewangan 2022 berbanding 3.1 peratus pada 2021, mencatatkan pertumbuhan tertinggi dalam kalangan negara anggota ASEAN, kata Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam).

Selain itu, pertumbuhan KDNK bagi suku keempat 2022 diunjurkan mencapai 5.7 peratus.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Firdaos Rosli berkata ia merupakan unjuran yang lebih baik walaupun kemelut politik yang bermula pada awal 2020 dan reda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November tahun lepas berakhir dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Tambahan pula, ringgit mencapai paras tertinggi, RM4.746, pada awal November 2022 disebabkan oleh peningkatan kadar faedah dan perbezaan hasil bon.

“Kami berpendapat bahawa pertumbuhan positif itu disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik dan pemulihan lebih kukuh dalam pasaran buruh selain daripada faktor kesan asas rendah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firdaos berkata walaupun ekonomi Malaysia akan terus berkembang tahun depan dalam persekitaran kelembapan global, kemelesetan ekonomi dijangka tidak berlaku kerana asas makroekonomi negara kekal kukuh.

Beliau berkata penggunaan swasta akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi sepanjang tahun selain daripada prospek pembukaan semula China yang boleh membantu mengehadkan pertumbuhan yang merosot.

Pelaburan swasta akan kekal menjadi perbalahan walaupun kadar dasar semalaman adalah lebih rendah berbanding tahap sebelum pandemik.

“Kami mengunjurkan ekonomi kami berkembang sebanyak 4.5 peratus pada 2023 tanpa mengambil kira kesan pembukaan semula ekonomi China dan rasionalisasi subsidi.

“Untuk rekod, projek (unjuran) bank-bank pembangunan pelbagai hala terkini Malaysia berkembang antara empat hingga 4.4 peratus pada 2023,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Firdaos berkata mengekalkan kadar pertumbuhan pasca pandemik di Malaysia merupakan perkara penting dalam persekitaran kelembapan global dan pilihan raya negeri yang akan datang untuk memastikan kerajaan mendapat ruang fiskal mencukupi untuk melaksanakan pembaharuan pada masa hadapan.

Justeru, beliau berkata bahawa matlamat dasar jangka pendek akan lebih menyerlah daripada matlamat jangka panjang dalam beberapa minggu akan datang.

“Kerajaan dijangka menggariskan beberapa matlamat ini apabila membentangkan semula Bajet 2023, dan bakinya dalam semakan semula Rancangan Malaysia Ke-12 pada suku ketiga 2023.

“Kami yakin kerajaan tidak akan menolak pelaksanaan semula cukai barangan dan perkhidmatan dan mengekalkan rasionalisasi subsidi buat masa ini,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon