Johor realisasikan 98 peratus projek pelaburan asing
22 Jun 2023
Sebanyak 98 peratus projek pelaburan asing di negeri ini berjaya direalisasikan khususnya dalam sektor tumpuan seperti sumber tenaga boleh diperbaharui, petrokimia serta elektrik dan elektronik.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu berjaya dicapai hasil kerjasama baik antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dengan kerajaan negeri selama ini.
Katanya, pihaknya akan terus komited untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri ini supaya lebih banyak pelaburan asing dapat dibawa masuk khususnya dalam sektor-sektor tumpuan.
“Johor bukan sahaja menunjukkan momentum pelaburan yang positif, tetapi semakin kukuh khususnya dalam beberapa sektor utama.
“Dengan kejayaan merealisasikan sehingga 98 peratus pelaburan, Johor adalah contoh daripada segi pelaksanaan prestasi tertinggi dalam negara.
“Manakala, daripada sudut nilai eksport antarabangsa bermula Januari hingga April tahun ini, Johor menduduki tempat pertama dengan sebanyak 30 peratus adalah dari negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Johor 2023 di Kota Iskandar di sini, hari ini.
Turut mempengerusikan mesyuarat itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan turut hadir, Timbalan Menteri Miti, Liew Chin Tong serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han.
Sementara itu, menurut Onn Hafiz, kerajaan negeri yakin Johor akan dapat mengekalkan kedudukan sebagai negeri yang merekodkan jumlah pelaburan asing tertinggi dalam negara buat tahun kedua berturut-turut.
Katanya, Johor berjaya merekodkan pelaburan asing sebanyak RM70.6 bilion tahun lalu iaitu yang tertinggi di Malaysia.
“Trajektori ekonomi menunjukkan kita mampu mencapai angka pelaburan sama atau lebih tinggi. Insya-Allah masih nombor satu dalam negara tahun ini.
“Bagi nilai eksport antarabangsa Johor sejak Januari hingga April tahun ini, kita merekodkan jumlah RM247.59 juta, tertinggi dalam negara iaitu kedudukan pertama berbanding kedudukan ketiga dalam tempoh sama tahun lalu.
“Kejayaan ini dapat direalisasikan melalui kerjasama erat antara agensi pusat dan negeri,” katanya.
Sumber: Harian Metro