B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


‘Johor berpotensi terima pelaburan RM10 bilion hingga RM15 bilion’

‘Johor berpotensi terima pelaburan RM10 bilion hingga RM15 bilion’

12 Feb 2023

Johor berpotensi menerima pelaburan bernilai antara RM10 bilion hingga RM15 bilion daripada beberapa syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Singapura, kata Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, ini berikutan pertemuannya dengan wakil beberapa syarikat antarabangsa termasuk AirTrunk iaitu sebuah syarikat pusat data berskala besar yang terbesar di Asia Pasifik dan Jepun serta syarikat Wilhelmsen, satu daripada kumpulan maritim terkemuka di peringkat global.

“Selain mereka, saya juga sudah berjumpa dengan beberapa lagi pelabur berpotensi dari negara lain,” katanya dalam kemas kini laman Facebook rasminya hari ini yang turut disertakan foto pertemuan dengan wakil syarikat itu.

Onn Hafiz ketika ini dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari ke Singapura yang bermula hari ini, bertujuan meningkatkan lagi hubungan baik di antara republik itu dengan Johor.

“Insya-Allah, selain ribuan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk bangsa Johor, limpahan ekonomi dan pembangunan yang bakal dijana hasil pelaburan ini, sudah tentu akan membawa lebih kemakmuran kepada rakyat di negeri ini.

“Semua ini menunjukkan Johor terus kekal menjadi destinasi pilihan utama bagi pemain industri bertaraf global,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri dengan bantuan Kerajaan Persekutuan komited menjadi pemudahcara dari segi penyediaan utiliti dan infrastruktur, sehingga kepada insentif cukai bagi menghasilkan suasana perniagaan yang lebih mesra pelabur dari serata dunia.

Pertemuan itu dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Dr Badrul Hisham Kassim.

Selain itu, hadir sama, Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Singapura, Vinothan Tulisinathzan; Ketua Eksekutif Invest Johor, Zarina Abdul Kadir; Ketua Pegawai Eksekutif Johor Economic, Tourism and Cultural Office Singapore (JETCO), Saifuddin Abdul Rahim dan Pengurus Invest Johor, Sarkawi Zainal Abidin.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon