JCorp, Tiong Nam bina taman logistik RM2.39 bilion - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


JCorp, Tiong Nam bina taman logistik RM2.39 bilion

JCorp, Tiong Nam bina taman logistik RM2.39 bilion

15 Ogo 2022

Johor Corporation (JCorp) menerusi anak syarikat milik penuhnya, JLand Group Sdn Bhd (JLG), menandatangani perjanjian kerjasama awal dengan Tiong Nam Logistics Holdings Bhd untuk membina serta memajukan taman logistik berasaskan teknologi terkini di Lembah Teknologi Sedenak.

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM2.39 bilion, usaha sama ini akan menguruskan perancangan induk, pembangunan dan promosi pusat logistik dan penggudangan binaan khas.

Projek itu akan dibangunkan secara berfasa dalam tempoh lima tahun, dengan anggaran 4,000 pekerjaan diwujudkan daripada proses pembangunan, pembinaan dan pengendalian kemudahan.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, berkata pembangunan bersama antara kedua-dua pihak itu dikenal pasti sebagai projek logistik induk di Lembah Teknologi Sedenak.

“Menerusi usaha sama ini, kami berhasrat untuk menjayakan projek perintis yang boleh dijadikan contoh bagi industri logistik sebagai sebahagian daripada tumpuan pembangunan teras Lembah Teknologi Sedenak dalam industri strategik.

“Dengan pendekatan ‘Asia untuk Asia’ yang semakin berkembang di peringkat serantau, JCorp berusaha memanfaatkan kekuatan pertumbuhan rantaian bekalan di rantau ini dengan membangunkan platform logistik bersepadu bagi industri dan perniagaan bertumpukan eksport.

“Dengan kepentingan yang semakin ketara bagi perdagangan antara

rantau di benua Asia, JCorp akan terus memanfaatkan rangkaian rakan industri untuk menggalakkan keterhubungan lebih kukuh bagi koridor perdagangan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis menandatangani perjanjian diadakan di sini disaksikan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Dr Badrul Hisham Kassim.

Sementara itu, Pengarah Urusan Tiong Nam, Ong Yoong Nyock berkata syarikat teruja untuk memulakan kerjasama melabur dalam pembangunan dan pemodenan hab logistik dan penggudangan yang terletak di tengah-tengah Johor.

Beliau berkata, taman logistik di Lembah Teknologi Sedenak dijangka menghimpunkan peserta industri antarabangsa dan merintis penyelesaian logistik menggunakan pelbagai kaedah pengangkutan, dengan matlamat untuk mempertingkatkan rantaian bekalan serta pengangkutan di Johor dan peringkat serantau.

“Pengalaman kami menyediakan penyelesaian logistik bersepadu yang

lestari, serta hartanah perindustrian dengan pensijilan bangunan hijau akan dimanfaatkan di hab perindustrian yang bakal dibina ini.

“Melalui penyepaduan automasi logistik gudang dan teknologi pembinaan terkini, kami yakin bahawa projek ini akan meningkatkan tahap kecekapan dan produktiviti bagi menyokong aktiviti perdagangan antarabangsa serta

tempatan, aktiviti pengeluaran dan penggunaan,” katanya.

JLG dan Tiong Nam akan bersama-sama merangsang pembangunan dan pelaburan ke dalam taman logistik di Lembah Teknologi Sedenak.

Bidang tumpuan projek termasuk pengurusan sewa dan kemudahan, penyepaduan sistem logistik 4.0 serta perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran peringkat terakhir.

Pembangunan berskala besar ini turut menyediakan penyelesaian lestari sedia terbina seperti gudang dan kilang yang dibina mengikut spesifikasi, untuk memudahkan penyewa mengembangkan perniagaan masing-masing.

Dibina untuk peserta e-dagang, penyedia logistik pihak ketiga (3PL), penyedia perkhidmatan fret, peruncit dan syarikat perindustrian ringan-sederhana, pembangunan ini menyediakan kemudahan pintar, termasuk robotik dan sistem automasi selain infrastruktur berpandukan tenaga untuk menggalakkan operasi berlandaskan kelestarian.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon