Jawatankuasa pemantau boleh tingkat keyakinan pelabur - Penganalisis - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Jawatankuasa pemantau boleh tingkat keyakinan pelabur – Penganalisis

Jawatankuasa pemantau boleh tingkat keyakinan pelabur – Penganalisis

06 Apr 2023

Cadangan bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk kerajaan menubuhkan jawatankuasa pemantau bagi meneliti perkembangan komitmen pelaburan yang masuk ke negara ini dilihat wajar dan mampu mengukuhkan lagi keyakinan pelabur terhadap negara ini, demikian kata penganalisis.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata cadangan penubuhan jawatankuasa khas di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) adalah sesuatu yang tepat dan amat diperlukan dalam memastikan hasrat pelabur asing terutamanya dapat dipermudahkan dan dipercepatkan dalam melaksanakannya.

Beliau berkata, antara kebaikan utama pelaksanaan segera memberikan impak ekonomi yang cepat dan efektif kepada negara, dengan antaranya mengukuhkan nilai ringgit, membuka pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan terutama kepada sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Katanya, nilai pelaburan asing yang besar seperti yang diumumkan baru-baru ini oleh Tesla, Amazon Web Services dan yang terbaru pelaburan RM170 bilion dari syarikat besar China amat diperlukan untuk memacu ekonomi negara dan mesti ditangani dengan pintar serta didahulukan.

“Tambahan lagi, Malaysia bersaing sengit dengan negara jiran di Asia Tenggara dalam menarik pelaburan asing maka pengumuman pelaburan langsung asing (FDI) baru-baru ini seharusnya dimanfaatkan untuk menjadi contoh keupayaan Malaysia dan pastinya menarik lebih ramai lagi pelabur asing dari negara lain ke Malaysia.

“Penubuhan jawatankuasa di bawah MITI ini juga akan menonjolkan keseriusan Malaysia dalam memastikan pelaksanaan FDI dijalankan dengan telus, mudah dan cepat,” katanya kepada BH bagi mengulas cadangan kepada kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa pemantau pelaburan yang masuk ke negara ini.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, adalah diharapkan sekiranya jawatankuasa yang ditubuhkan itu berjaya mencapai objektif penubuhannya, maka modus operandi memperbaiki pelaburan asing dapat diadaptasi secara keseluruhannya walaupun jawatankuasa berkenaan telah dibubarkan nanti.

Beliau berkata, ia bagi memastikan penambahbaikan yang telah diselengarakan oleh jawatankuasa berkenaan dapat dikekalkan dan diterapkan dalam standard modus operasi agensi kerajaan yang berkenaan.

Johari dilaporkan berkata kerajaan perlu menubuhkan jawatankuasa pemantau menerusi MITI bagi meneliti perkembangan berhubung komitmen pelaburan diperoleh Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, ia penting bagi memantau setiap perkembangan selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara syarikat Malaysia dengan negara berkenaan, sekali gus penyelesaian perlu dilakukan segera daripada permasalahan berbangkit.

Katanya, ia bagi memastikan setiap pelaburan yang masuk ke Malaysia berjalan lancar.

Sementara itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff juga bersetuju satu jawatankuasa ditubuhkan bagi memastikan pelaburan yang masuk dapat dipantau dari segi memenuhi dasar dan keperluan kerajaan serta dapat mengambil tahu situasi dan isu penting berkaitan pelaburan dalam negeri.

Beliau berkata, ia sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur luar atas kesungguhan kerajaan dalam menarik pelaburan masuk.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata, pelabur mahukan suatu lokasi pelaburan yang dinamik memandangkan landskap pelaburan semakin mencabar disebabkan faktor geopolitik yang dilihat semakin tidak menentu terutamanya hubungan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Justeru, beliau berkata, banyak syarikat antarabangsa mula mencari lokasi baharu bagi mengelakkan dari terus terkesan akibat sekatan ekonomi.

“Oleh itu, sekiranya jawatankuasa ini dapat memudahkan urusan pelabur asing untuk berurusan dengan pihak berwajib, ia akan dapat menambah baik pengalaman dalam kalangan pelabur,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon