B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Invest Selangor atur pelbagai inisiatif tarik minat pelabur

Invest Selangor atur pelbagai inisiatif tarik minat pelabur

03 Jun 2022

Selangor bersedia untuk menggerakkan pelbagai inisiatif terutamanya dalam memulakan semula penglibatan promosinya di luar negara dan memperkenalkan cadangan nilainya kepada bakal pelabur bagi menimbangkan  Selangor sebagai destinasi pelaburan.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd (ISB) Datuk Hasan Azhari berkata pelbagai inisiatif dalam perancangan merangkumi kedua-dua promosi pelaburan dan aktiviti pembangunan ekosistem, terutamanya selepas pelonggaran langkah membendung pandemik, yang membolehkan aktiviti ekonomi disambung semula.

“Pelonggaran sekatan sekarang ini memberi petanda baik bagi negeri ini, terutamanya pelancong luar negara ke Malaysia tidak perlu menjalani proses kuarantin – membolehkan lebih banyak penglibatan perniagaan dilakukan secara fizikal,” katanya kepada Bernama.

Hasan berkata selain penyambungan semula misi pelaburan ke luar negara untuk menarik pelabur asing bagi aktiviti baharu dan pengembangan yang berpotensi, Selangor menganjurkan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS), yang kembali dalam bentuk fizikal dari 6 Okt  hingga 9  Okt  serta Pameran Penerbangan Selangor (SAS) pada 8-10 Sept 2022.

“Kami juga sedang berusaha untuk membangunkan pelan strategik lima tahun kami – pelan hala tuju untuk ISB dengan sasaran untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan,” tambahnya.

Mengulas mengenai pelaburan langsung domestik (DDI) ke Selangor, Hasan berkata kecuali antara 2018 hingga 2020, DDI sentiasa menjadi pemacu utama kepada jumlah pelaburan di Selangor, khususnya dalam sektor pembuatan.

“Pada 2021, DDI menyumbang RM6.1 bilion atau 81.3 peratus kepada jumlah pelaburan pembuatan Selangor – menandakan keyakinan besar terhadap Selangor sebagai destinasi pelaburan dalam kalangan pelabur domestik yang memanfaatkan rantaian bekalan matang dan ekosistem perniagaan yang teguh.

“Memandangkan kerajaan telah melonggarkan langkah-langkah membendung pandemik, perniagaan tempatan dapat beroperasi sepenuhnya semula – lebih banyak aktiviti pengembangan yang berpotensi akan dilakukan daripada pelabur domestik,” tambahnya.

Bagi pelaburan langsung asing (FDI), Malaysia merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM306.5 bilion pada 2021, jumlah tertinggi pelaburan diluluskan sejak 2006.

“Unjuran FDI negara untuk 2022 kekal positif, dengan Aspirasi Pelaburan Nasional bersedia untuk menarik pelaburan berimpak tinggi dalam bidang pertumbuhan baharu. Pelan Induk Perindustrian Baharu 2022 hingga 2033 akan terus mendorong industri tempatan untuk mempercepatkan usaha pendigitalan dan merealisasikan sepenuhnya faedah peralihan ke Revolusi Perindustrian 4.0,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon