B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Intel Malaysia dan rakan kerjasama lancar Program Robofun

Intel Malaysia dan rakan kerjasama lancar Program Robofun

16 Jan 2023

Intel Malaysia melancarkan program Robotik untuk Universiti (RoboFun) bagi membantu universiti membina keupayaan dan muncul sebagai penyedia teknologi dan penyelesaian teras paling maju untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Inisiatif ini adalah dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Scuttle Robotics.

Naib Presiden Rangkaian dan Kumpulan Edge Intel, dan Pengurus Besar Sokongan dan Pemboleh Aplikasi Pelanggan, Eric Chan berkata RoboFun bertujuan untuk merapatkan jurang digital antara fakulti dan mewujudkan tenaga kerja generasi baharu yang dilengkapi dengan kebolehan yang tinggi terhadap kemahiran digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI), tanpa mengira disiplin latihan mereka.

“Sistem robot mudah alih berautonomi (AMR) ialah salah satu aplikasi terbaik untuk merealisasikan pelbagai integrasi teknologi termaju daripada mobiliti, AI, sistem kawalan, sistem pengoperasian (OS) dan automasi.

“Kami juga bangga kerana ia akan menjadi pemangkin kepada ekosistem untuk melakukan perkara yang sama dan mewujudkan kumpulan bakat yang bertenaga, pemain industri dan pengguna teknologi,” katanya dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena pelancaran program itu di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata, inisiatif Intel mengenai pembangunan bakat melalui modul latihan komprehensif RoboFun ialah kaedah berkesan untuk merangsang perkongsian pengetahuan industri dan akademik dalam membangunkan sistem AMR.

Beliau berkata penyelesaian dan teknologi berkaitan Industri 4.0 yang dicipta oleh bakat universiti tempatan sendiri akan menggalakkan PKS mengoptimumkan produktiviti serta meningkatkan keupayaan mereka.

“MIDA tidak sabar-sabar untuk menyokong kejayaan program ini yang akhirnya akan meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan untuk memenuhi keperluan industri.

“MIDA akan terus bekerjasama secara sinergi dengan industri dan ahli akademik untuk menyokong pembangunan ekosistem elektrik dan elektronik di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata program RoboFun akan terus meningkatkan produktiviti dan daya saing industri Malaysia dan trend ini akan berterusan pada masa hadapan.

Beliau berkata AMR akan menjadi penyelesaian yang boleh dilakukan kepada masalah perbelanjaan buruh yang semakin meningkat jika harga proses mengautomasikannya dapat diturunkan.

“MPC, dalam kapasitinya sebagai rakan kongsi operasi program, akan bertanggungjawab untuk mentadbir keseluruhan proses latihan, dengan Intel dan Scuttle Robotics menyediakan semua bantuan teknikal yang diperlukan,” katanya.

Intel berkata lima universiti awam dan swasta, iaitu Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Petronas menyertai majlis pelancaran itu dan menerima kit AMR mereka.

Ia berkata kit itu akan menjadi instrumen untuk universiti menubuhkan makmal robotik masing-masing dan untuk memperkasakan pelajar di semua fakulti bagi meningkatkan pengetahuan mereka serta menyesuaikan diri dengan sistem AMR. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon