Inix Mula Ceburi Industri Sarung Tangan Getah Dengan Pelaburan RM50 Juta - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Inix Mula Ceburi Industri Sarung Tangan Getah Dengan Pelaburan RM50 Juta

Inix Mula Ceburi Industri Sarung Tangan Getah Dengan Pelaburan RM50 Juta

04 Dis 2020

Inix Technologies Holdings Bhd yang disenaraikan di Pasaran ACE kini secara rasmi menyertai industri sarung tangan getah selepas membeli 51 peratus kepentingan dalam L&S Gloves Sdn Bhd dengan pelaburan RM50 juta.

Pengarah Eksekutif, Siva Kumar Kalugasalam berkata pelaburan itu termasuk kos pengambilalihan syarikat, modal kerja, penambahan barisan pengeluaran kilang di sini serta lain-lain.

“Susulan memulakan perniagaan getah ini, saya yakin ia akan menyumbang 40 hingga 50 peratus kepada perolehan keseluruhan syarikat.

“Apabila kami menambah kesemua barisan pengeluaran, kilang sarung tangan getah ini akan menjadi penyumbang terbesar kepada perolehan kami,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Perjanjian dengan L&S Gloves di sini, hari ini.

Beliau berkata pengoperasian serta perolehan yang dijana daripada usaha baharu itu dijangka direalisasikan di antara suku kedua dengan suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Jan, 2022.

Mengenai rancangan awal Inix untuk membeli sebuah kilang yang terletak di Zon Perindustrian Sendayan, Negeri Sembilan, Siva Kumar berkata pihaknya meneliti semula semua strategi bagi mengenal pasti langkah terpantas untuk menyertai perniagaan sarung tangan getah.

“Menjadi rakan kongsi dengan L&S Gloves merupakan strategi terpantas memandangkan kami telah sedia mempunyai pengeluaran yang beroperasi.

“Kami tidak (membatalkan rancangan pembelian di Sendayan) setakat ini, kami masih mencari pendekatan untuk memaksimumkan situasi ini, mungkin kami juga akan memulakan semula keseluruhan operasi di kilang yang lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah L&S Gloves, Teo Xiong Sheng berkata kilang syarikat setakat ini mempunyai dua barisan pengeluaran dengan kapasiti 16 juta keping sarung tangan getah sebulan sekali gus membolehkan syarikat menjana keuntungan bersih RM300,000 pada Oktober.

Beliau berkata perkongsian dengan Inix akan menambah barisan pengeluaran kepada 14 dengan potensi pengeluaran lebih 11 bilion keping sarung tangan getah sebulan dan mencatatkan keuntungan minimum RM5 juta sebulan.

“Tempoh pembinaan bagi dua barisan pengeluaran akan mengambil masa kira-kira tiga bulan dan kami berharap keseluruhan rancangan peluasan ini akan selesai pada suku keempat tahun depan,” katanya.

Sebanyak 97 peratus daripada pengeluaran akan dieksport ke China dan India manakala bakinya untuk penggunaan domestik, katanya.

Beliau berkata syarikat turut meninjau pasaran baharu di Eropah.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon