B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Inisiatif bersama bantu pelabur berkembang ke Australia, Timur Tengah dan Asean

Inisiatif bersama bantu pelabur berkembang ke Australia, Timur Tengah dan Asean

27 Jul 2021

Pelabur dari Malaysia, New Zealand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini berpeluang untuk mengadakan kerjasama dengan rakan perniagaan di Australasia, Timur Tengah dan ASEAN. 

Menerusi inisiatif bersama antara Persatuan Perniagaan New Zealand (NZMBA) dan Majlis Perniagaan Malaysia (MBC) yang berpangkalan di UAE ia akan menyediakan laluan membolehkan hubungan perniagaan strategik peringkat tinggi selain membantu mengeratkan hubungan sesama rakyat. 

Pengasas dan Presiden NZMBA Dave Ananth berkata inisiatif bersama itu akan menyaksikan kedua-dua pihak meningkatkan aktiviti ekonomi dan pelaburan antara pasaran Malaysia, New Zealand dan UAE.

“Pasukan bilateral NZMBA-MBC berfungsi sebagai platform untuk perniagaan di Malaysia, New Zealand dan UAE mengintai peluang baharu dan terlibat dengan rakan strategik di wilayah-wilayah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

  Beliau berkata, satu perjanjian kerjasama telah ditandatanganinya dan Pengerusi MBC, UAE, Fahmy Ansara untuk menyediakan peluang kepada kedua-dua pihak bersama-sama mempromosi produk halal, kewangan Syariah dan projek infrastruktur di New Zealand.

“Kami juga sepakat untuk menjalin kerjasama lebih luas dalam pensijilan halal New Zealand untuk komoditi daging dan tenusu bagi tujuan eksport ke pasaran Malaysia dan Timur Tengah, selain projek infrastruktur melibatkan sektor kerajaan dan swasta di negara kepulauan itu,” tambahnya.

Sementara itu, Fahmy berkata inisiatif bersama itu melibatkan pertukaran jaringan, teknologi, dan perkongsian pengetahuan antara kedua-dua pihak.

Perjanjian kerjasama menjemput semua MBC di seluruh dunia untuk bergabung dan merebut peluang yang ada. 

NZMBA dan MBC, UAE turut membincangkan mengenai penganjuran dan persiapan untuk Ekspo Dunia 2021 yang akan diadakan di Dubai, UAE dari Oktober 2021 – Mac 2022.

Kedua-dua pihak juga mempertimbangkan rancangan untuk mengadakan pameran hibrid Perniagaan UAE-NZ-Malaysia bersempena dengan Ekspo Dunia 2021 dan FieldDays Expo 2022/2023, acara pertanian terbesar di Hemisfera Selatan berkaitan teknologi dan inovasi canggih.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon