B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Impak PKP kali ini terhadap ekonomi masih terkawal – PM

Impak PKP kali ini terhadap ekonomi masih terkawal – PM

18 Jan 2021

Impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini terhadap ekonomi negara masih terkawal dengan pertumbuhan terus disokong oleh sektor eksport yang memberangsangkan dan pemulihan perdagangan dunia.

Ketika menegaskan perkara itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini juga berikutan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi dalam PKP tersebut.

“Kita telah menyaksikan kesan pelaksanaan PKP (terdahulu) ke atas pertumbuhan ekonomi yang mana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2020 mencatat kemerosotan yang sangat ketara dan kadar pengangguran juga telah meningkat.

“Alhamdulillah, dengan pelaksanaan pakej-pakej rangsangan ekonomi, kita berjaya mencapai kadar penguncupan KDNK yang lebih kecil iaitu daripada 17.1 kepada 2.7 peratus dan penurunan kadar pengangguran daripada 5.1 kepada 4.7 peratus pada suku kedua kepada suku ketiga 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan dan platform media sosial di sini, hari ini.

Menurut Muhyiddin, sejak bermulanya penularan pandemik COVID-19 pada awal tahun lepas, kerajaan telah melaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion atau lebih 20 peratus daripada KDNK bagi membantu rakyat serta perniagaan selain turut melindungi ekonomi negara.

Jelas Perdana Menteri, pakej-pakej rangsangan ekonomi ini juga telah melibatkan suntikan fiskal kerajaan sebanyak RM55 bilion.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan tidak menjangkakan impak yang sama seperti suku kedua 2020 akan dialami dengan pelaksanaan PKP kali ini memandangkan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan untuk beroperasi.

“Oleh itu, impak PKP semasa ke atas ekonomi masih terkawal. Pertumbuhan akan terus disokong oleh sektor eksport yang memberangsangkan dengan pemulihan perdagangan dunia,” kata beliau.

Muhyiddin juga optimis bahawa pakej rangsangan ekonomi, Belanjawan 2021 dan pakej bantuan PERMAI juga akan terus merancakkan penggunaan.

Ini turut didorong oleh projek serta program berimpak tinggi yang mempunyai kesan pengganda besar akan terus memacu momentum pemulihan ekonomi, kata beliau. 

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga sedar bahawa pelaksanaan PKP dan disusuli dengan Proklamasi Darurat yang berkuat kuasa mulai 11 Januari sehingga 1 Ogos 2021, mungkin menimbulkan sedikit kegusaran dalam kalangan masyarakat serta komuniti perniagaan.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi, bahawa pengisytiharan darurat ini semata-mata bertujuan mengekang penularan wabak COVID-19 yang kini menjadi ancaman terbesar terhadap pembangunan sosioekonomi negara.

“Kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan impak daripada langkah tersebut ke atas persekitaran ekonomi negara adalah terkawal. Malah, kita telah melihat sejak 11 Januari 2021, pasaran modal seperti Bursa Malaysia dan pasaran bon kekal stabil dan teratur.

“Bagi membiayai pakej bantuan PERMAI, kerajaan akan membuat penjajaran semula peruntukan sedia ada berdasarkan keutamaan semasa dan melalui perbelanjaan yang lebih berhemat,” kata beliau.

Pada masa sama, beliau juga menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan segala program yang diumumkan akan dilaksanakan dengan cepat dan lancar.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X