B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Hextar Industries peroleh keseluruhan kepentingan dalam HFL bernilai RM480 juta

Hextar Industries peroleh keseluruhan kepentingan dalam HFL bernilai RM480 juta

08 Ogo 2022

Hextar Industries Bhd (HIB) telah memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat (SSA) dengan Hextar Holdings Sdn Bhd (HHSB) membabitkan pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Hextar Fertilizers Ltd (HFL) pada harga RM480 juta. 

Cadangan pengambilalihan itu akan membolehkan HIB meningkatkan kapasiti pengeluaran sedia ada daripada 75,000 tan setahun kepada 679,000 tan setahun dan membenarkan HIB memanfaatkan rangkaian pengedaran HFL yang luas di seluruh Malaysia bagi mengembangkan pangkalan pengedarannya.

Kumpulan HFL merangkumi HFL yang memegang 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Hextar Fertilizers Group Sdn Bhd yang seterusnya memiliki 100 peratus kepentingan dalam Hextar Fert Sdn Bhd, Hextar Solutions Sdn Bhd dan PK Fertilizers Sdn Bhd. 

HIB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata cadangan pelaksanaan itu akan dipenuhi melalui penerbitan dan peruntukan 1.6 bilion saham biasa baharu dalam HIB pada harga terbitan 30 sen sesaham.

Penerbitan saham pertimbangan itu akan menyebabkan pegangan saham HHSB meningkat daripada 45.66 peratus kepada 77.31 peratus, menokok lebih daripada dua peratus saham pengundian syarikat. 

Oleh itu, menurut Perenggan 4.01(b) Peraturan Pengambilalihan, Penggabungan dan Pengambilalihan Wajib, HHSB perlu melanjutkan tawaran am mandatori untuk memperoleh baki saham HIB yang belum dimiliki olehnya dengan serta-merta apabila SSA menjadi tanpa syarat.

Kumpulan itu juga menekankan bahawa HHSB sebagai penjamin telah menyediakan jaminan keuntungan terkumpul dua tahun yang mampu dicapai Kumpulan HFL untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022 dan 31 Dis 2023. 

Katanya, di bawah terma jaminan keuntungan, penjamin memberikan ikrar kepada HIB bahawa Kumpulan HFL akan meraih keuntungan selepas cukai yang diaudit tidak kurang daripada RM94 juta secara kumulatif untuk tempoh jaminan.

Kumpulan itu ketika mengulas mengenai rasional cadangan tersebut berkata pada Ogos 2018, HIB mempelbagaikan perniagaannya kepada baja dengan pengambilalihan PK Fertilizers (Sarawak) Sdn Bhd oleh itu cadangan pengambilalihan Kumpulan HFL, yang juga terlibat dalam perniagaan baja merupakan pelaburan strategik yang sejajar dengan pelan jangka panjang HIB untuk memperluaskan perniagaan bajanya.

Cadangan pengambilalihan itu akan membolehkan Kumpulan HIB serta HFL memanfaatkan kekuatan gabungan mereka berhubung dengan pengalaman pasukan pengurusan utama, kedudukan pasaran, keupayaan pengeluaran termasuk hubungan perniagaan dengan pihak berkepentingan industri. 

“Berdasarkan kajian pasaran yang dijalankan oleh Protégé Associate Sdn Bhd, kumpulan menjelaskan bahawa saiz pasaran industri baja di Malaysia dijangka melonjak daripada RM4.72 bilion pada 2021 kepada RM6.37 bilion pada 2022 dan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 14.3 peratus untuk mencapai RM9.20 bilion menjelang 2026.

“Pertumbuhan permintaan akan didorong oleh kenaikan harga komoditi tanaman industri serta minat kerajaan dalam pembangunan sektor tanaman industri seperti kelapa sawit dan getah selain mencapai kebergantungan diri dalam komoditi makanan utama,” kata kumpulan itu.

Setelah selesai cadangan pengambilalihan itu, Kumpulan HFL akan menjadi anak syarikat HIB, sekali gus membolehkan syarikat itu menyatukan keputusan kewangan Kumpulan HFL yang dijangka akan meningkatkan pendapatan secara berperingkat.

Tanpa mengambil kira sebarang keadaan di luar jangka, cadangan pengambilalihan itu diunjur akan menyumbang secara positif kepada Kumpulan HIB pada masa akan datang, sekali gus meningkatkan nilai pemegang saham HIB, tambahnya lagi.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon