B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Hajiji mahu pertingkat proses rundingan menarik pelabur ke Sabah

Hajiji mahu pertingkat proses rundingan menarik pelabur ke Sabah

22 Jan 2021

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor mahu supaya perundingan beberapa pelaburan untuk dipertingkatkan dan berjalan dengan lancar, dalam usaha menarik lebih banyak pelabur ke negeri ini, khususnya dalam sektor pengilangan komponen bateri bagi kenderaan elektrik, pembuatan kaca, pengurusan pelabuhan dan industri aeroangkasa.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, semua pelaburan itu jika direalisasikan akan mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah, selain memperoleh pulangan pendapatan langsung dan tidak langsung bernilai jutaan ringgit kepada negeri ini.

“Saya akan memantau usaha semua pihak yang terbabit dalam menarik pelabur ke negeri ini, termasuk meminta laporan dari semasa ke semasa agar apa yang kita rancangkan khususnya untuk membangunkan ekonomi negeri ini, dapat direalisasikan. Ini kerana kita mahu negeri ini dan rakyatnya menerima manfaat daripada pembangunan ekonomi yang dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat rombongan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Pejabat Wilayah Sabah yang diketuai Pengarahnya Mohd Hijri Mat Rani, di sini pada Khamis.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa mempermudahkan aktiviti perniagaan dan mesra pelabur di Sabah, dalam usaha mempertingkatkan serta menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.

Beliau berkata ia sejajar dengan komitmen kerajaan negeri, yang memberi keutamaan kepada agenda pembangunan ekonomi negeri dan menjayakan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan 2021-2025).

Sementara itu Hajiji turut menyarankan agar MITI bekerjasama dengan agensi pelaburan negeri, termasuk Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) yang baharu ditubuhkan, untuk menarik pelaburan dari dalam dan luar negara ke Sabah, kerana negeri ini  mempunyai potensi besar selain kedudukannya yang strategik di rantau ini serta mempunyai sumber asli yang pelbagai.

 Dalam kunjungan itu MITI turut membentangkan pencapaian kelulusan pelaburan sektor pengilangan oleh MIDA melalui MITI bagi negeri Sabah, iaitu sebanyak RM6.46 bilion bagi 15 projek pada tahun 2019 dan RM11.86 bilion bagi 12 projek untuk tahun lepas, bagi tempoh Januari hingga September.

Manakala prestasi jumlah perdagangan Sabah dengan antarabangsa, Semenanjung dan Sarawak, bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020 adalah sebanyak RM67.1 bilion, iaitu membabitkan nilai eksport sebanyak RM33.9 bilion dan import sebanyak RM33.1 bilion.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon