B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Hab Halal akan dibangunkan di KKIP

Hab Halal akan dibangunkan di KKIP

16 Dis 2021

Hab Halal akan dibangunkan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu di bawah inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk mengalakkan usahawan tempatan menceburi dan menembusi pasaran halal.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, Hab Halal di kawasan seluas 20 ekar itu akan menyediakan kemudahan premis, teknologi dan platform digital yang diperlukan usahawan dalam sektor berkenaan.

“Hab Halal akan memberi panduan kepada usahawan mengenai keperluan untuk mendapatkan pengiktirafan halal dan persijilan MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri). Ia juga akan memberi bantuan dalam pemprosesan dan pemasaran produk itu,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan Jelajah Halal Malaysia 2021 peringkat negeri di Hotel Marriot di sini, hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Menurut Ketua Menteri, Sabah adalah antara penyumbang dalam ekonomi halal negara, sektor pertumbuhan baharu yang berpotensi besar.

Hajiji berkata, pada tahun lalu, industri halal telah menyumbang sebanyak RM9.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, manakala laporan Unit Perancang Ekonomi (EPU) menunjukkan segmen pasaran halal dijangka menyumbang kepada 8.1 peratus KDNK negara dan mampu menjana pendapatan eksport sebanyak RM56 bilion pada 2025.

Ekonomi halal yang kukuh juga akan menjadi petanda baik dalam menarik lebih ramai ketibaan dalam sektor pelancongan mesra Muslim (MFT), segmen baharu dalam sektor pelancongan di Sabah, tambahnya.

“Dalam Laporan Ekonomi Islam Global 2020/21, Malaysia telah mengungguli tempat teratas dalam sektor pelancongan MFT. Justeru, kita tidak mahu Sabah terlepas peluang dalam sektor pasaran pelancongan halal,” katanya.

Industri pelancongan halal dijangka meningkat kukuh memandangkan lokasi Sabah yang strategik dalam BIMP-Eaga yang turut membuka banyak peluang pelaburan langsung dan perdagangan sempadan dengan pembangunan di negara jiran Kalimantan, Indonesia, katanya.

Sehubungan itu, Ketua Menteri menggesa semua kementerian dan agensi berkaitan serta pemain industri dapat menggembleng tenaga dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran produk halal tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Saya mahu melihat lebih ramai usahawan Kecil dan Sederhana (PKS) mengambil bahagian secara aktif dalam ekosistem halal dan menaik taraf perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi,” kata Hajiji.

Kerajaan Negeri juga akan terus menyediakan pelbagai inisiatif sebagai pemangkin kepada industri halal, khususnya dengan memberi lebih banyak peluang perniagaan kepada PKS tempatan, katanya sambil menambah bahawa pasaran produk halal tidak lagi tertumpu kepada pengguna Islam sahaja tetapi turut menyaksikan peningkatan permintaan dalam kalangan pengguna bukan Islam.

Beliau berharap, lebih banyak syarikat tempatan akan menceburi sektor itu kerana pada masa ini hanya kira-kira 300 syarikat did Sabah mendapat pengiktirafan halal walaupun terdapat lebih 5,000 syarikat berpotensi besar di negeri ini.

Katanya, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) telah diperuntukkan sebanyak RM5.76 juta di bawah perbelanjaan perbekalan dalam Belanjawan 2022 Sabah bagi menubuhkan empat lagi pusat PKS di negeri ini.

Program Bantuan PKS (BAIKS) yang telah membantu 3,269 usahawan sejak penubuhannya akan diteruskan, manakala lebih banyak program khususnya dalam meningkatkan kualiti produk sedang dalam perancangan, katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon