B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Hab eWTP Cainiao Aeropolis jadikan KLIA sebagai pusat pengedaran serantau

Hab eWTP Cainiao Aeropolis jadikan KLIA sebagai pusat pengedaran serantau

01 Nov 2021

Hab Platform Perdagangan Dunia elektronik (eWTP) Cainiao Aeropolis yang baru dilancarkan telah meletakkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebagai pusat pengedaran serantau (RDC) di pasaran Asia Pasifik.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata hab itu menerima beberapa pengendali logistik kargo sebagai pemain logistik kontrak, menyediakan ruang bagi pelanggan akhir mereka seperti pengendali kargo dan syarikat elektronik runcit.

Dengan ruang gudang yang amat luas kira-kira 1.1 juta kaki persegi, hab itu akan menyediakan masa pusing balik yang lebih pantas kepada pengendali serta perkhidmatan tokokan nilai seperti pembuatan ringan baharu, pemasangan, pembaikan dan logistikan pulangan, katanya.

“Ini kemudiannya akan menjadikan tempat ini sebagai RDC mereka bagi keseluruhan rantau, yang seterusnya membawakan volum baharu bagi kita,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran hab tersebut di sini, hari ini.

Hab itu, yang memulakan operasinya pada November tahun lepas dibangunkan menerusi perkongsian 30:70 antara MAHB dan Alibaba Group dengan pelaburan bernilai RM500 juta.

Dalam keseluruhan kawasan kargo KLIA, terdapat kira-kira 200 pemain terdiri daripada pengendali terminal kargo, syarikat pengangkutan barangan dan syarikat penerbangan kargo.

Iskandar berkata pengendali lapangan terbang itu berharap dapat menerima 10 pengendali baharu menyertai hab tersebut terutamanya daripada pasaran vertikal elektronik runcit, automotif, farmaseutikal, telekomunikasi, barangan sukan dan segmen fesyen laris.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang merasmikan pelancaran hab itu berkata, kemunculan e-dagang dalam tempoh beberapa tahun ini terbukti menjadi rahmat kepada pertumbuhan kargo udara kerana ia merupakan pemacu pemangkin terbesarnya.

“Hab Cainiao eWTP akan menjadi pembawa perubahan bagi Malaysia sebagai hab Asia Pasifik bagi RDC dan logistik e-dagang.

“Ia mendapat banyak manfaat berada di zon komersial bebas dengan akses ke sisi terminal lapangan terbang hinggalah kepada aktiviti tokokan nilai seperti pemasangan ringan dan pukal serta operasi kastam 24 jam menggunakan teknologi pintar yang membolehkan pelepasan kastam pelbagai modus menyeluruh,” katanya.

Wee berkata hab Cainiao eWTP, bersama dengan Kastam Diraja Malaysia telah menyediakan sistem pelepasan kastam yang akan hanya mengambil masa sejam setengah untuk selesai — peningkatan besar daripada 24 hingga 48 jam sebelum ini.

Pada 2020, pasaran logistik dan kargo Malaysia bernilai US$37.6 billion dan dijangka mencecah lebih daripada US$55 bilion menjelang 2026.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X