Globetronics labur RM50.2 juta bina platform awan canggih - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Globetronics labur RM50.2 juta bina platform awan canggih

Globetronics labur RM50.2 juta bina platform awan canggih

21 Apr 2021

Globetronics Technology Bhd (Globetronics), pengeluar sensor optik miniatur di Malaysia membina platform canggih berasaskan awan menerusi penggunaan pemprosesan Industri 4.0 dalam operasi pengeluaran besar-besaran syarikat itu.

Syarikat itu dalam kenyataannya berkata, pembinaan platform canggih bernilai RM50.2 juta itu akan menggabungkan kecerdasan buatan (AI), analitik data raya dan realiti lanjutan (AR + VR).

Katanya, ia akan diterapkan dalam rantaian bekalan dan pembuatan pintar hujung-ke-hujung, yang akan membolehkan penyesuaian tahap lebih tinggi, mengurangkan masa kitaran dan pengesanan kualiti terbaik bagi portfolio produk yang pelbagai serta memenuhi keperluan pelanggan yang dinamik.

“Langkah mengintegrasikan kecerdasan ke dalam mesin dan proses perniagaan syarikat tepat pada masanya dalam menangani cabaran pemerolehan tenaga kerja tidak mahir serta meningkatkan daya tahan sebagai tindak balas terhadap COVID-19.

“Pelaksanaan automasi untuk prosesnya juga akan membantu kami dalam memberi tumpuan kepada aktiviti menjana pendapatan tinggi seperti ramalan dan preskriptif data bagi memaksimumkan operasi mesin.

“Ia akan menjadi hala tuju bagi inisiatif ‘Lights off’ kilang kami dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman, berkata sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menerajui transformasi digital dalam sektor pembuatan, langkah pengembangan Globetronics dijangka membuka jalan kepada peningkatan produktiviti, penciptaan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran rakyat dengan memanfaatkan teknologi canggih dan kemampuan AI.

“Pengenalan dasar Industry4WRD berfungsi sebagai hala tuju strategik kepada Malaysia untuk melaksanakan Industri 4.0 sepenuhnya termasuk pembuatan dan bandar pintar, grid pintar dan penyelesaian pintar.

“Penerapan Industri 4.0 Globetronics akan melengkapkan industri elektrik dan elektronik bagi menghasilkan produk fotonik semikonduktor canggih menerusi penggunaan robot autonomi dan pembuatan pintar,” katanya.

Transformasi IR 4.0 Globetronics memfokuskan kepada tenaga kerja, menyusun semula pembuatan dan latihan tenaga kerja menerusi realiti lanjutan (ER).

Teknologi ER syarikat itu akan merapatkan jurang digital dan fizikal dengan meletakkan imej penstriman langsung dengan pangkalan data mesin yang diperoleh dari penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta fasa pembuatan.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon