GKN Aerospace bina kemudahan pembaikan bernilai RM160 juta di Johor - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


GKN Aerospace bina kemudahan pembaikan bernilai RM160 juta di Johor

GKN Aerospace bina kemudahan pembaikan bernilai RM160 juta di Johor

22 Sep 2022

GKN Aerospace, pembekal aeroangkasa Tier-1 global, melabur kira-kira RM160 juta (US$35 juta) untuk menubuhkan kemudahan pembaikan bahagian enjin aero di Taman Teknologi Nusajaya di Johor.

Presiden GKN Aerospace Engines Systems Joakim Andersson berkata, kemudahan itu yang merupakan perniagaan milik penuh GKN Aerospace adalah usaha pengembangannya ke Asia yang penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat dan model operasi global.

“Kemudahan itu adalah pelengkap kepada kemudahan pembaikan komponen sedia ada GKN Aerospace di El Cajon, California, untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di rantau Asia Pasifik.

“Kakitangan yang terdiri daripada 90 pekerja pada masa ini akan berkembang kepada 150 operator pada 2023 dan terus berkembang kepada 300 dalam tempoh lima tahun memandangkan GKN Aerospace turut menyediakan latihan di tapak untuk pekerja,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sidang media itu sempena perasmian kemudahan itu yang disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor Lee Ting Han.

Andersson berkata, Johor menawarkan keadaan yang menggalakkan dalam bidang pembangunan perniagaan, tenaga kerja, pendidikan dan latihan, infrastruktur dan lokasi yang sangat baik jika dibandingkan dengan pelanggan utama syarikat di rantau Asia Pasifik.

GKN Aerospace kini mengendalikan tujuh kemudahan di Asia, melaksanakan pembaikan dalam aerostruktur, sistem enjin, sistem pendawaian dan cermin tingkap pesawat di China, India, Malaysia dan Turki.

“Apabila kesemua kemudahan telah beroperasi sepenuhnya, kira-kira 15 peratus pekerja GKN Aerospace dijangka berpangkalan di Asia,” kata beliau.

Pada masa ini, syarikat itu mempunyai 15,000 pekerja di 12 buah negara.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dalam satu kenyataan berkata, kerajaan akan terus memudahkan pertumbuhan industri aeroangkasa dalam mematuhi agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Ia berkata Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) menggalakkan teknologi canggih dan pelaburan bernilai tinggi yang mematuhi ESG dan penting untuk mencergaskan semula iklim pelaburan Malaysia bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi dan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Pelaburan GKN Aerospace untuk mewujudkan kemudahan pembaikan komponen enjin aero adalah contoh pelaburan aeroangkasa bernilai tinggi yang digalakkan di bawah NIA.

“Pelaburan seperti ini akan mempercepatkan volum pengeluaran produk aeroangkasa yang lebih kompleks, perkhidmatan canggih serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang akan meningkatkan produktiviti aeroangkasa Malaysia, komponen eksport dan ekonomi yang dipelbagaikan,” tambahnya.

Di antara 2015 hingga 2021, MITI berkata sejumlah RM10.2 bilion nilai pelaburan diperoleh, menawarkan 5,805 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, yang menyumbang kepada peningkatan dalam hasil aeroangkasa dan eksport.

“Industri ini menjana pendapatan tahunan sebanyak RM12.2 bilion pada 2021 dan disokong oleh 26,000 tenaga kerja teknikal. Eksport alat ganti dan komponen aeroangkasa meningkat 11 peratus kepada RM5.79 bilion berbanding 2020.

“Industri aeroangkasa Malaysia dijangka mencapai tahap prapandemik menjelang akhir tahun berdasarkan kepada perkembangan positif dalam industri ini,” tambahnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon