B. Malaysia

|

|

This site
is mobile
responsive


Gas asli sumbang RM400 bilion kepada kewangan awam pada dekad akan datang

Gas asli sumbang RM400 bilion kepada kewangan awam pada dekad akan datang

03 Dis 2020

Gas asli dijangka menyumbang hampir RM400 bilion kepada kewangan awam dalam dekad akan datang dan memberi sumbangan ekonomi yang besar kepada negara pengeluar gas, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Beliau berkata industri gas asli adalah penyumbang penting dan langsung kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan kesan ekonomi tempatan yang meluas.

“Hampir 15,000 pekerjaan telah diciptakan oleh industri itu di seluruh Sarawak dan Terengganu.

“Lebih-lebih lagi, penyelidikan telah menunjukkan bahawa industri ini mewujudkan lebih daripada 80,000 pekerjaan di ekonomi yang lebih luas, bagi setiap 10 orang yang bekerja di industri gas asli, lebih daripada 25 pekerjaan diciptakan dalam ekonomi yang lebih luas,” katanya pada Forum ‘7th International Energy Forum (IEF)-International Gas Union (IGU) Ministerial Gas’  yang diadakan secara maya, hari ini.

Tengku Muhammad Taufik berkata dalam menyokong pertumbuhan industri gas asli, Petronas telah melabur lebih daripada RM18 bilion dalam pembangunan infrastruktur gas yang diperlukan, ia telah meningkatkan keselamatan tenaga negara.

Sebagai penggiat gas asli cecair (LNG) jangka panjang, Petronas membuka potensinya sebagai usaha dalam mencapai matlamat pelepasan rendah karbon untuk generasi seterusnya.

Sehingga kini, lebih daripada 11,000 kargo telah dihantar dengan selamat ke pasaran utama Petronas daripada portfolio kemudahan globalnya di Malaysia, Australia, Mesir, dan seterusnya di Kanada tidak tak lama lagi, katanya.

Tengku Muhammad Taufik berkata landskap tenaga global yang baharu telah menyeru supaya lebih banyak kerjasama diadakan antara pengeluar, pengguna dan kerajaan untuk memastikan ekosistem, gas adalah bahan bakar pilihan yang memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan.

“Saya percaya dasar tenaga yang kukuh dan berpandangan jauh yang digabungkan dengan sokongan serta campur tangan kerajaan adalah faktor utama yang paling penting untuk ekosistem yang kondusif bagi mempromosikan penyelesaian tenaga lebih bersih.

“Di Malaysia, dasar yang disokong oleh kerajaan untuk meliberalisasikan pasaran gas terus membuahkan hasil dengan penetapan harga berdasarkan pasaran dan akses pihak ketiga diperkenalkan untuk memacu pasaran gas yang lebih kompetitif di negara ini,” katanya.

Sebagai sebuah syarikat minyak dan gas nasional Malaysia, Petronas akan terus bekerjasama erat dengan pembuat dasar dan pihak berkuasa dalam membentuk Hala Tuju Dasar Tenaga Nasional dan Gas Asli (National Energy Policy and Natural Gas Roadmap) yang akan memastikan penyelarasan objektif dasar untuk mengatasi “trilemma” (tiga pilihan sukar) tenaga dan meningkatkan penggunaan tenaga signifikan yang lebih bersih di negara ini, katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X