B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Flex unjur pertumbuhan hasil yang kukuh, pengembangan operasi di Malaysia

Flex unjur pertumbuhan hasil yang kukuh, pengembangan operasi di Malaysia

22 Mac 2022

Pengembangan operasi di Malaysia dilihat perlu  dilaksanakan bagi  penyedia penyelesaian pembuatan dan teknologi, Flex Ltd, memandangkan unjuran pertumbuhan hasil dua angka yang stabil untuk tiga tahun akan datang.

Naib Presiden Kanan Operasi Global Asia Lai Teng Yen berkata syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu yang menubuhkan operasinya di Malaysia pada 1988, sedang meraih faedah daripada  penyerantauan serta kematangan rantaian bekalan di sini.

“Kami berada di kedudukan yang baik di Batu Kawan dengan ramai pelanggan korporat mewah turut menyediakan kemudahan di kawasan berdekatan. Tambahan pula, infrastruktur di sini berkembang maju dengan pelabuhan bertaraf dunia, lapangan terbang dan pengangkutan darat yang semuanya bersambung dengan baik.

“Penyerantauan dan Malaysia menjadi sebahagian daripada ASEAN juga merupakan satu lagi aspek kadar pertumbuhan yang kita lihat. Kami menjangkakan Flex akan terus sibuk di sini dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya pada taklimat media mengenai operasi syarikat itu di Malaysia di sini hari ini.

Mengenai hasil keseluruhan, beliau berkata Flex mencatatkan antara US$24 bilion (US$1=RM4.21) dan US$26 bilion setahun, iaitu 45 peratus daripadanya diperoleh daripada operasi syarikat Asianya.

Mengenai pengembangan operasi, Lai berkata syarikat itu sedang melihat dua pendekatan yang tidak memerlukan pelaburan yang besar, iaitu meningkatkan kemudahan sedia ada untuk mewujudkan lebih banyak ruang dalam kilang atau menawarkan rakan kongsi perniagaannya untuk melabur di Malaysia.

“Kami telah sampai pada tahap kritikal apabila pembekal sedia ada kami tidak mampu untuk mengekalkan kadar pertumbuhan yang kami lihat untuk dua hingga tiga tahun akan datang, yang bermakna, kami juga perlu menawarkan rakan perniagaan kami untuk melabur di Malaysia.

“Kami akan membincangkan perkara ini dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan ini akan menjadi pelaburan tidak langsung oleh Flex dalam industri,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Operasi Flex Pulau Pinang  Viswanathan Paramasivam berkata pengembangan operasi sentiasa dibincangkan oleh syarikat memandangkan terdapat peluang pertumbuhan yang luar biasa.

“Kami menjangkakan hasil tahunan akan berkembang antara 24 peratus dan 28 peratus sekurang-kurangnya untuk dua hingga tiga tahun akan datang, oleh itu, kami perlu berkembang untuk menampung pertumbuhan ini.

“Kami mempunyai sebidang tanah kosong di sini dan kami sedang berbincang bagaimana cara untuk memajukannya serta mengoptimumkan kemudahan kami yang lain,” katanya.

Flex membantu mereka bentuk dan membina produk untuk pelanggannya dalam pelbagai industri seperti automotif, awan, komunikasi, peranti pengguna, penjagaan kesihatan dan perindustrian, dengan kemudahan di lebih 30 negara.

Di Malaysia, ia mempunyai 11 kemudahan di seluruh Johor, Pulau Pinang dan Selangor dengan produk yang dihasilkan termasuk pelayan, suis ethernet kompleks, produk audio dan peralatan perubatan tercanggih.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon