B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Firma Sweden buka kilang sarung tangan pembedahan di Kedah

Firma Sweden buka kilang sarung tangan pembedahan di Kedah

21 Sep 2022

Syarikat produk perubatan Sweden, Mölnlycke Health Care AB (Mölnlycke) membuka kilang sarung tangan pembedahan baharu di Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Kulim, Kedah dengan jumlah pelaburan 50 juta euro.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan menjelaskan, kilang baharu itu adalah sebahagian daripada pelan hala tuju kemampanan Mölnlycke – WeCare, untuk memenuhi permintaan terhadap sarung tangan pembedahan yang semakin meningkat.

Kemudahan berukuran 29,164 meter persegi itu dilengkapi dengan barisan pengeluaran dan pembungkusan sarung tangan automatik yang canggih dan dijangka dapat mewujudkan 400 pekerjaan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman, berkata kilang pengeluaran baharu Mölnlycke di Malaysia itu membuktikan keyakinan terhadap pertumbuhan mampan berterusan ekonomi Malaysia selain petanda baik untuk negara ini mengekalkan kedudukan sebagai peneraju dalam sektor pembuatan sarung tangan.

“Kita komited untuk menyokong peneraju industri seperti Mölnlycke dan berharap dapat menyaksikan syarikat ini berkembang ke tahap yang lebih tinggi dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.

Kilang pembuatan itu telah dirasmikan secara bersama oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Duta Sweden di Malaysia, Joachim Bergstrom dan Ketua Pegawai Eksekutif Mölnlycke, Zlatko Rihter, semalam.

Menurut MIDA, Malaysia adalah teras kepada perniagaan sarung tangan pembedahan Mölnlycke dan pada masa ini syarikat tersebut telah mempunyai tiga kilang lain di Malaysia iaitu dua kilang pembuatan sarung tangan pembedahan dan satu lagi untuk pembungkusan.

Mölnlycke, yang mempunyai perniagaan di lebih 100 negara, menyertai pasaran Malaysia pada 1990 dan kini menggaji lebih 2,500 rakyat negara ini.

Kilang baharu ini adalah sebahagian daripada pelan hala tuju strategik kemampanan Mölnlycke yang menyasar bagi mencipta nilai bersama untuk semua pihak berkepentingan di samping menyumbang secara ketara kepada matlamat kelestarian Malaysia seperti pengurangan penggunaan tenaga, pertumbuhan ekonomi dan inovasi infrastruktur.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon