B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Firma Jepun yakin prospek perniagaan di Malaysia

Firma Jepun yakin prospek perniagaan di Malaysia

10 Apr 2022

Pertumbuhan sentimen perniagaan dalam kalangan syarikat Jepun di Malaysia dijangka terus meningkat pada separuh kedua 2022 sebagaimana dapatan kaji selidik Dewan Perdagangan dan Industri Jepun Malaysia (Jactim).

Presidennya, Daiji Kojima berkata kaji selidik dwitahunan dalam kalangan 557 ahli Jactim bagi tempoh 19 Januari hingga 21 Februari 2022, menunjukkan Indeks Sebaran Sentimen Perniagaan (DI) diunjur meningkat kepada 20.5 mata, sekali gus meneruskan aliran positifnya daripada separuh pertama 2022.

“DI sentimen perniagaan Jepun bagi separuh pertama 2022 meningkat secara mendadak, bertukar positif selepas berada dalam wilayah negatif selama lapan penggal dan tertinggi sejak separuh pertama 2018 akibat kelonggaran sekatan pergerakan.

“Ini terutama susulan pembukaan semula sebahagian besar sektor ekonomi dan peningkatan permintaan dalam sektor semikonduktor,” katanya kepada Bernama.

Kaji selidik secara dalam talian itu membabitkan 234 respons merangkumi 140 syarikat dalam sektor pembuatan dan 94 syarikat bukan pembuatan.

Sementara itu, Penasihat Umum Jactim merangkap Pengarah Urusan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun Kuala Lumpur (Jetro KL), Mai Onozawa memberitahu Bernama, lebih banyak syarikat Jepun yang membuat pertimbangan untuk berkembang di Malaysia berbanding tahun lalu.

Menurutnya, tinjauan berasingan oleh Jactim dan Jetro KL mengenai keadaan perniagaan syarikat Jepun, menunjukkan aspek kecekapan pekerja bertutur dalam bahasa Inggeris serta persekitaran hidup yang baik, mendahului senarai daya tarikan Malaysia bagi tujuan pelaburan jangka sederhana hingga panjang dalam kalangan pelabur Jepun.

“Sentimen perniagaan ini didorong oleh perkembangan perniagaan baharu dalam sektor elektrikal dan elektronik, pengembangan kenderaan elektrik dalam industri automotif dan pertumbuhan pasaran borong serta runcit,” katanya.

Onozawa berkata, kebanyakan syarikat Jepun di Malaysia kini dalam mod untuk berkembang susulan terdapatnya tanda-tanda pemulihan daripada impak pandemik COVID-19.

Malah, berdasarkan dapatan kaji selidik bersama, lebih separuh daripada syarikat Jepun dalam sektor pembuatan telah pulih daripada tempoh ketika COVID-19.

Namun, operasi separuh daripada syarikat bukan pembuatan Jepun, belum kembali ke paras pra-COVID-19.

“Adalah diharapkan bahawa ekonomi domestik akan terus ketara dan menyokong pemulihan,” katanya.

Beliau berkata, syarikat-syarikat Jepun di Malaysia juga mengambil usaha untuk bercirikan neutral karbon dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

“Penerimagunaan teknologi digital juga secara relatifnya tinggi di Malaysia dalam kalangan negara-negara ASEAN, khususnya akibat COVID-19 yang melonjakkan pelaksanaan teknologi.

“Bagaimanapun, usaha mendapatkan khidmat pekerja menjadi satu isu, terutama dengan kekurangan jurutera serta tenaga kerja,” katanya.

Onozawa berkata, terdapat gesaan supaya proses pengambilan pekerja asing dipercepatkan berikutan kekurangannya yang serius.

Menurutnya, dari segi hak asasi manusia, dapatan kaji selidik itu menunjukkan Malaysia mempunyai peratusan tertinggi dalam negara-negara ASEAN dari segi mengiktiraf isu-isu hak asasi manusia seperti amalan buruh sewajarnya serta memastikan aspek keselamatan pekerjaan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon