B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


FGV ceburi penternakan tenusu bersepadu di Chuping Perlis

FGV ceburi penternakan tenusu bersepadu di Chuping Perlis

08 Ogo 2022

FGV Holdings Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya FGV Integrated Farming Sdn Bhd (FGVIF) menandatangani perjanjian pemegang saham bersyarat dengan Baladna Food Industries W.L.L dan Touch Group Holdings Sdn Bhd untuk pembangunan perniagaan penternakan tenusu bersepadu di Chuping, Perlis.

Baladna Food Industries W.L.L merupakan anak syarikat Baladna Q.P.S.C. (Baladna).

Pegangan saham bagi pihak-pihak terbabit ialah FGVIF (40 peratus), Baladna (40 peratus) dan Touch Group (20 peratus), manakala projek itu yang akan dibangunkan di kawasan seluas 3,259 hektar di Lembah Agro Chuping FGV (FCAV), dijangka melibatkan pelaburan sehingga RM4.5 bilion.

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan pada Sabtu lepas di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022, di Serdang, disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Perjanjian bersyarat itu ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif FGV Group Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor, Ketua Pegawai Eksekutif BALADNA Piet Hilarides dan Ketua Pegawai Eksekutif Touch Group Raja Datuk Idris Raja Halid.

“Usaha sama ini akan menjadi batu loncatan bagi FGV untuk menjadi salah satu perniagaan pertanian bersepadu dan mampan yang terkemuka di dunia,” kata Mohd Nazrul dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai sebuah organisasi yang terlibat dalam industri makanan, usaha terbaharu syarikat dalam perniagaan penternakan tenusu bersepadu ini meletakkan syarikat gergasi perladangan dalam industri susu dan tenusu yang semakin berkembang, sekali gus mengukuhkan kehadirannya dalam industri makanan, katanya.

Dengan matlamat untuk mengukuhkan Agenda Keselamatan Makanan Negara, projek itu juga sejajar dengan rancangan jangka panjang FGV untuk meletakkan FCAV sebagai antara hab lembah agro terkemuka di Malaysia, memberi nilai yang mampan untuk pihak berkepentingan dan keadaan hidup yang selesa kepada masyarakat tempatan serta menangani kebimbangan terhadap keselamatan makanan negara, di bawah pengawasan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara.

Penubuhan perniagaan pertanian tenusu bersepadu dijangka mewujudkan lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan.

Dijangka beroperasi secara komersial menjelang 2025, projek itu menyasarkan untuk menghasilkan 100 juta liter susu segar setahun dalam tempoh tiga tahun pertama dan dijangka mencapai 300 juta liter susu segar dalam tempoh 10 tahun.

“Pasaran tenusu Malaysia berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 4.5 peratus dari 2015 hingga 2020.

“Prospek bagi sektor tenusu adalah positif, dan FGV optimis hala tuju strategik ini akan menyokong matlamat negara untuk memperoleh 50 peratus tahap sara diri untuk susu cair dan 100 peratus untuk susu segar menjelang 2028, menggandakan pengeluaran susu segar di Malaysia, mengurangkan import dan menyediakan susu segar kepada pengguna,” tambahnya.

Berdasarkan konsep “grass to glass“, usaha sama itu akan disepadukan sepenuhnya, beroperasi dari makanan haiwan, memerah susu lembu dan pemprosesan susu, penjualan, pemasaran dan pengedaran produk berkaitan tenusu, terutamanya susu segar.

Sementara itu, Hilarides berkata Baladna akan memanfaatkan pengalamannya yang luas dalam pengeluaran susu segar dan pembangunan jenama untuk meningkatkan tahap sara diri susu Malaysia. Kami gembira dapat bekerjasama dengan FGV Holdings dan Touch Group Holdings.

Sebelum sekatan ekonomi ke atas Qatar yang dikenakan oleh negara jiran pada 2017, Qatar, 90 peratus bergantung kepada import. Hari ini, Baladna adalah syarikat tenusu terbesar di Qatar dengan lebih daripada 250 unit simpan stok dan telah mencapai 100 peratus tahap sara diri yang memberangsangkan bagi susu segar di Qatar.

Touch Group pula merupakan syarikat pegangan Malaysia yang terlibat dalam pelbagai aktiviti perniagaan termasuk telekomunikasi, tenaga boleh diperbaharui, pengurusan hartanah, pertanian, perkhidmatan keselamatan, perhotelan, pembinaan, pelancongan, makanan dan minuman serta teknologi maklumat dan komunikasi.

“Kami berharap penyertaan kami dalam usaha sama ini akan mengukuhkan dan menambah nilai kepada komposisi pemegang saham usaha sama ini, selaras dengan Agenda Sekuriti Makanan Negara,” kata Raja Idris.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon