B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ericsson, Intel sasar kerjasama 5G di Malaysia

Ericsson, Intel sasar kerjasama 5G di Malaysia

19 Jan 2023

Syarikat terkemuka telekomunikasi Sweden, Ericsson dan Intel, antara pembuat cip terbesar di dunia bersedia menjalinkan kerjasama di Malaysia dalam pembangunan penggunaan 5G yang boleh mempercepatkan penggunaan teknologi baharu untuk perusahaan dan pendigitalan di negara ini.

Langkah penting yang memberi manfaat kepada Malaysia adalah selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ericsson, Börje Ekholm dan Ketua Pegawai Eksekutif Intel, Pat Gelsinger bertemu di Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang sedang berlangsung di Davos, Switzerland.

Mereka membincangkan mengenai kerjasama selanjutnya antara Ericsson dan Intel di Malaysia untuk membina ekosistem 5G di negara ini dengan membangunkan kes penggunaan 5G yang akan memanfaatkan banyak sektor, kata Ericsson dalam satu kenyataan kepada Bernama.

“Menerusi kerjasama ini, kami akan menggunakan kelajuan, daya tahan, keselamatan dan kependaman rendah 5G untuk mempercepatkan transformasi Malaysia kepada ekonomi digital,” kata Ekholm

Manfaat pendigitalan untuk negara-negara yang sedang pesat membangun adalah menarik, Malaysia membuat langkah berani dengan pentauliahan rangkaian 5G di seluruh negara, kata Ekholm.

“Langkah strategik itu membuahkan hasil. Negara ini tidak lama lagi akan mencapai satu daripada pelancaran 5G terpantas di dunia, membolehkan semua orang menikmati faedah ekonomi digital lebih cepat daripada yang dijangkakan,” katanya.

Ekholm berkata bahawa 5G ialah platform untuk inovasi tanpa had yang mampu memacu impak positif secara eksponen kepada masyarakat.

Pelancaran rangkaian 5G Malaysia yang dipercepatkan oleh Digital Nasional Bhd (DNB) dengan kerjasama Ericsson, direka untuk menyampaikan pengalaman bertaraf dunia kepada pengguna, katanya.

“Penempatan pantas rangkaian DNB bermakna lebih banyak peluang untuk pendidikan, pembangunan kemahiran, pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi,” kata Ekholm.

Semasa mesyuarat di Davos, mereka turut membincangkan kerjasama berterusan antara kedua-dua syarikat mengenai 5G, faedah pendigitalan untuk negara sedang pesat membangun dan peranan ketersambungan yang boleh dimainkan dalam membina ekonomi digital yang mampan dan berdaya tahan.

“Banyak aplikasi pengguna baharu seperti permainan menggunakan teknologi awan serta perkhidmatan perusahaan termasuk kes penggunaan baharu untuk pendigitalan pelbagai industri sudah pun mewujudkan peluang perniagaan yang besar.

“Kami bekerjasama dengan Intel untuk membolehkan keupayaan ini melalui kes penggunaan 5G yang berbeza di seluruh dunia,” kata Ekholm.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan itu, Gelsinger berkata beliau bersetuju sepenuhnya mengenai manfaat daripada pendigitalan dan rangkaian 5G bertaraf dunia.

“Mereka mempunyai keupayaan untuk memberi kesan positif kepada cara kita bekerja, belajar, berhubung, membangun dan beroperasi, ia juga menjadi perkara utama untuk membina ekonomi yang mampan dan berdaya tahan.

“Pelancaran rangkaian 5G di seluruh negara di Malaysia dan pembinaan ekosistem 5G untuk menyokongnya akan membantu memasuki era baharu inovasi untuk rantau ini dan mempercepatkan transformasinya kepada ekonomi digital,” kata Gelsinger.

Intel berada di Malaysia selama 50 tahun dan kini sedang mengembangkan operasinya dengan membina sebuah kilang pembuatan yang besar di negara ini.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon