B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Eksport E&E Malaysia dijangka terus catat prestasi baik

Eksport E&E Malaysia dijangka terus catat prestasi baik

29 Mac 2022

Eksport elektrik dan elektronik (E&E) dijangka terus menunjukkan prestasi yang baik pada 2022 walaupun pandemik masih berterusan dan risiko kekurangan bekalan cip global, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Pengarah Bahagian E&E, Teknologi maklumat dan komunikasi, mesin dan peralatannya, Naim Abdul Rahman, berkata Malaysia kini adalah pengeksport keenam terbesar semikonduktor dan litar bersepadu (IC) di dunia, menyumbang 6.3 peratus daripada jumlah eksport dunia dan ini akan terus menyokong industri E&E, yang mewakili 61.7 peratus daripada produk eksport.

“Eksport semikonduktor dan IC meningkat 90 peratus tahun ke tahun sepanjang 2020,” katanya dalam webinar ‘Meningkatkan Daya Saing PKS Malaysia di Peringkat Global’ anjuran Persatuan Industri Elektronik Global SEMI Asia Tenggara dan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA).

Naim menyatakan bahawa prestasi perdagangan E&E Malaysia meneruskan momentum menaiknya pada Januari dan Februari 2022 dengan eksport meningkat sebanyak 19.6 peratus tahun ke tahun kepada AS$20.18 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2021.

“Dari segi produk dan pasaran eksport utama, ia menunjukkan trend yang sama, yang mana kesemua lima produk eksport teratas mencatat pertumbuhan luar biasa, manakala semikonduktor kekal sebagai produk eksport E&E terbesar,” katanya.

Lima produk eksport teratas untuk E&E ialah semikonduktor dan IC; peralatan dan bahagian telekomunikasi; mesin pemprosesan data automatik (ADP); alat ganti dan aksesori untuk mesin pejabat dan ADP; dan radas dan jentera elektrik.

“Singapura adalah pasaran terbesar kita, diikuti oleh Amerika Syarikat (AS), China, Hong Kong dan Vietnam,” tambahnya.

Naim berkata, Malaysia membangunkan keupayaan E&E dalam bidang seperti penyumberan luar pengujian dan pemasangan semikonduktor (OSAT), peralatan ujian automatik (ATE), reka bentuk IC, dan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dengan pengalaman terkumpul yang bertahun-tahun berkhidmat kepada syarikat multinasional Malaysia dan luar negara.

“Pengilang Malaysia akan terus berkhidmat sebagai hab pembuatan bagi sektor E&E di rantau ini dalam memenuhi permintaan pelanggan global.

“Syarikat E&E kita sentiasa boleh dianggap sebagai penyedia penyelesaian yang boleh dipercayai yang boleh menyampaikan produk dan perkhidmatan tepat pada masanya dengan prestasi cemerlang serta standard antarabangsa berkualiti tinggi,” katanya.

Naim mengulangi bahawa MATRADE sentiasa bersedia untuk menghubungkan syarikat E&E Malaysia dan PKS kepada pelanggan dan pembeli global yang ingin melakukan penyumberan luar produk akhir dan perkhidmatan untuk kegunaan tempatan atau eksport operasi global.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon