Ekonomi Malaysia teruskan momentum pemulihan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ekonomi Malaysia teruskan momentum pemulihan

Ekonomi Malaysia teruskan momentum pemulihan

13 Mei 2022

Ekonomi Malaysia dijangka meneruskan momentum pemulihannya tahun ini, menyaksikan prestasi positif suku pertama 2022 yang berkembang lima peratus, disokong peningkatan dalam permintaan dalam dan luar negara serta pemulihan pasaran buruh.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pertumbuhan pada suku pertama 2022 disebabkan sokongan dasar kerajaan yang konsisten, terutama melalui inisiatif di bawah Bajet 2022 yang mengembang dengan langkah yang giat dilaksanakan sejak awal tahun.

Katanya, ia turut didorong kesan limpahan daripada pelaksanaan langkah Bajet 2021 serta pakej-pakej rangsangan dan bantuan sebelum ini.

Sepanjang suku pertama 2022, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bulanan berkembang secara konsisten pada kadar 4.3 peratus pada Januari, diikuti 5.2 peratus pada Februari dan 5.4 peratus pada Mac.

Antara indikator ekonomi yang menunjukkan trend pertumbuhan adalah pemulihan pasaran buruh yang berterusan, dengan kadar pengangguran pada 4.1 peratus, berkurangan sebanyak 0.2 mata peratusan berbanding suku sebelumnya.

“Ini berpunca daripada pelaksanaan program subsidi upah bernilai lebih RM20 bilion dan kejayaan inisiatif pewujudan peluang pekerjaan seperti JanaKerja dan JaminKerja.

“Kadar pengangguran dijangka terus berkurang pada bulan-bulan akan datang selaras bantuan kerajaan yang berterusan dan prospek perniagaan lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Faktor kedua, kata Tengku Zafrul ialah keyakinan perniagaan yang semakin meningkat selari penggunaan swasta yang kukuh dapat dilihat melalui Indeks Sentimen Pengguna (CSI) oleh MIER meningkat kepada 108.9 mata pada suku pertama 2022, manakala Statistik Kecenderungan Perniagaan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan indikator keyakinan sebanyak 7.6 peratus.

“Secara keseluruhan, keyakinan dan sentimen itu digambarkan melalui peningkatan nilai jualan sektor pembuatan yang kukuh sebanyak 13.9 peratus kepada RM144.6 bilion serta jualan perdagangan borong dan runcit yang berkembang sebanyak 9.8 peratus kepada RM123.8 bilion pada Mac 2022,” katanya.

Di samping itu, perdagangan luar dan pelaburan langsung asing (FDI) kekal kukuh dengan jumlah perdagangan meningkat 23.6 peratus kepada RM624.9 bilion, manakala FDI bersih meningkat kepada RM24.4 bilion.

Sektor pembuatan, aktiviti kewangan dan insurans/takaful serta sektor perdagangan borong dan runcit menarik sebahagian besar daripada aliran masuk FDI terutama dari Switzerland, Amerika Syarikat (AS), Hong Kong dan Jepun.

Mengenai pasaran modal dan kewangan Malaysia, Tengku Zafrul berkata ketersediaan pembiayaan terus bertambah baik, yang terbukti dengan peningkatan dalam pertumbuhan pinjaman isi rumah.

Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat 4.8 peratus, sejajar peningkatan pengeluaran pinjaman sebanyak 12.7 peratus, mengatasi pertumbuhan pembayaran balik pinjaman sebanyak 3.3 peratus.

“FBM KLCI meningkat sebanyak 1.3 peratus dalam tempoh suku pertama 2022 dengan pembelian bersih daripada pelabur runcit tempatan berjumlah RM501 juta dan aliran masuk bersih dana asing yang konsisten berjumlah RM6.5 bilion.

“Bursa Malaysia mendahului bursa-bursa lain di ASEAN dengan hasil penyenaraian baharu daripada lima tawaran awam permulaan (IPO) berjumlah AS$362 juta (RM1.6 bilion),” katanya.

Melangkah ke hadapan, fasa peralihan ke endemik, serta pembukaan semula sempadan antarabangsa, akan meningkatkan ketibaan pelancong dan seterusnya meningkatkan aktiviti perdagangan dan perniagaan.

Selain itu, pengeluaran khas sebanyak RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dijangka merancakkan penggunaan swasta dan terus membantu pemulihan ekonomi.

“Bajet 2022 yang mengembang dan penyambungan semula projek yang mempunyai kesan pengganda tinggi akan membantu mengekalkan pertumbuhan disokong oleh pelaksanaan program pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

“Seiring permintaan luar yang kukuh daripada rakan dagangan utama, ekonomi negara dijangka berada di landasan untuk mencapai unjuran pertumbuhan antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus pada 2022,” katanya.

Namun begitu, kerajaan, katanya mengambil pendekatan berhati-hati terhadap perkembangan global terkini yang berpotensi menjadi risiko kepada pertumbuhan.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), inflasi akan meningkat sebanyak 5.7 peratus bagi ekonomi maju dan 8.7 peratus bagi negara yang berkembang pesat dan negara membangun.

“Inflasi Malaysia dijangka berada antara 2.2 peratus dan 3.2 peratus pada tahun ini, sejajar dengan unjuran IMF sebanyak 3.0 peratus iaitu yang paling rendah dalam kalangan negara ASEAN.

“Sekiranya perkembangan global terus mempengaruhi pelaburan dan perdagangan dunia, rantaian bekalan akan terus terkesan, seterusnya ini berpotensi untuk menjejaskan momentum pemulihan ekonomi negara memandangkan Malaysia sebuah ekonomi terbuka, dengan jumlah perdagangan kira-kira 120 peratus daripada KDNK,” katanya.

Tambahan pula, peningkatan mendadak dalam tekanan inflasi terutamanya di AS mendorong beberapa bank pusat untuk meningkatkan kadar dasar dengan lebih pantas yang boleh menjurus kepada persekitaran kewangan global yang lebih ketat.

Beliau turut berkata, peningkatan harga komoditi dan makanan serta kekurangan tenaga buruh mungkin mengehadkan potensi pertumbuhan Malaysia.

Memandangkan kerajaan terus memantau dan menguruskan pelbagai risiko ekonomi, Tengku Zafrul berkata keutamaan kerajaan dalam jangka masa sederhana adalah untuk melaksanakan pembaharuan struktural yang akan meningkatkan potensi, daya tahan dan prospek ekonomi negara serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik.

“Secara keseluruhan, langkah dan komitmen kerajaan ini akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif untuk semua,” jelasnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon