B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ekonomi Johor diunjur berkembang tiga hingga lima peratus pada 2021

Ekonomi Johor diunjur berkembang tiga hingga lima peratus pada 2021

22 Ogo 2021

Ekonomi Johor diunjur berkembang antara tiga hingga lima peratus tahun ini dengan negeri itu kini berada di landasan pemulihan, kata Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

Beliau berkata unjuran itu adalah berdasarkan kepada unjuran di peringkat nasional yang telah dikemaskinikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu pada tiga hingga empat peratus.

Menurutnya, ekonomi Johor kekal berada pada landasan pemulihan pada 2021 didorong terutamanya oleh peningkatan program vaksinasi di negeri ini yang sekali gus membolehkan ia beralih ke fasa berikutnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Hasni yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Benut berkata sektor ekonomi yang dibuka semula dijangka memulihkan sentimen isi rumah dan perniagaan secara beransur-ansur.

“Ekonomi Johor akan menerima faedah limpahan kesan positif daripada peningkatan permintaan luaran, permintaan terpendam domestik serta pelaburan yang berterusan dalam projek infrastruktur berskala besar,” katanya pada penggal persidangan keempat Dewan Undangan Negeri Johor, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, pakej rangsangan ekonomi (PRE) Ihsan Johor 1.0, 2.0 dan 3.0 juga berjaya memberikan sokongan aliran tunai, khususnya kepada isi rumah dan perniagaan yang terjejas.

Pada tahun lepas prestasi ekonomi Johor menguncup kepada 4.6 peratus berbanding penguncupan 5.6 peratus di peringkat nasional.

Berdasarkan penyata kewangan pada 17 Ogos, 2021, Hasni berkata, kedudukan kewangan negeri berada pada tahap stabil dengan baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan (Rizab Negeri) berjumlah RM1.38 bilion.

Menteri Besar berkata hasil kerajaan negeri yang telah dikutip sehingga 17 Ogos berjumlah RM1.05 bilion atau 65.29 peratus berbanding anggaran asal.

“Kedudukan kewangan Negeri Johor pada ketika ini adalah pada kedudukan surplus dengan lebihan berjumlah RM 184.72 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Chew Chong Sin (PH-Mengkibol), Abd Taib Abu Bakar (PN-Machap), Khairuddin A. Rahim (PH-Senggarang), Datuk Md Othman Yusof (PN-Kukup), Aminolhuda Hassan (PH-Parit Yaani) dan Tan Chen Choon (PH-Jementah).

Kesemua ADUN berkenaan bertanyakan bagaimana mengenai prestasi ekonomi Johor semenjak pandemik COVID-19 tercetus dan unjuran prestasi bagi tahun ini.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon