Ekonomi Johor berada pada landasan pemulihan - Ketua Perangkawan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ekonomi Johor berada pada landasan pemulihan – Ketua Perangkawan

Ekonomi Johor berada pada landasan pemulihan – Ketua Perangkawan

26 Jul 2022

Ekonomi Johor telah berada semula pada landasan pemulihan, menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata prospek ekonomi negeri itu dijangka terus berkembang berikutan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura, sekali gus merancakkan lagi usaha pemulihan negara.

“Pada 2021, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Johor telah mencatatkan nilai RM131.1 bilion berbanding RM128.0 bilion pada tahun sebelumnya dengan pertumbuhan pada kadar 2.4 peratus, lebih baik berbanding pencapaian pada 2020 yang telah merekodkan pertumbuhan negatif 4.7 peratus.

“Melangkah ke hadapan, aktiviti perniagaan dapat diteruskan dan pada masa sama membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini, seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, struktur ekonomi Johor terus didominasi oleh dua sektor utama iaitu perkhidmatan dan pembuatan dengan sumbangan 83.0 peratus, manakala eksport negeri berkenaan meningkat sebanyak 20.6 peratus dengan nilai eksport RM255.1 juta.

“Eksport barangan utama Johor adalah keluaran petroleum bertapis sebanyak 21.9 peratus, litar elektronik bersepadu (13.6 peratus) dan barangan elektrik dan elektronik lain (7.2 peratus),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata berdasarkan Banci Malaysia 2020, Johor mencatatkan bilangan penduduk seramai 4.01 juta orang dan pertumbuhan penduduk negeri ini meningkat pada kadar 2.2 peratus bagi tempoh 2010 hingga 2020.

Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 berkata, Johor mencatatkan bilangan lelaki melebihi perempuan dengan nisbah jantina 115 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala tenaga buruh dalam kalangan siswazah lelaki sebanyak 229,700 berbanding 187,600 siswazah perempuan.

“Jumlah komposisi generasi muda atau belia (berumur 15 hingga 40 tahun) adalah hampir satu perdua daripada jumlah penduduk Johor iaitu 45.1 peratus. Golongan muda ini majoritinya berada di Johor Bahru iaitu 41.0 peratus, diikuti Batu Pahat 12.7 peratus.

“Kadar penyertaan tenaga buruh siswazah pula meningkat 85.3 peratus pada 2020 berbanding 84.2 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya sambil menambah komposisi penduduk umur tua iaitu 65 tahun dan lebih di Johor adalah 6.1 peratus, lebih rendah berbanding nasional pada 6.8 peratus.

Menurut Mohd Uzir, kadar kelahiran bagi Johor adalah 15.1 bagi setiap 1,000 penduduk, manakala kadar kematian adalah 5.5 bagi setiap 1,000 penduduk pada 2020.

Terdahulu, Ketua Perangkawan membentangkan hasil dapatan Banci Malaysia 2020 dan prestasi ekonomi 2021 Johor kepada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, pegawai daerah, Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon