B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ekonomi digital perlu jadi instrumen utama capai BRI, tingkat industri – Pakar

Ekonomi digital perlu jadi instrumen utama capai BRI, tingkat industri – Pakar

05 Sep 2023

Ekonomi digital perlu menjadi instrumen utama dalam mencapai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China serta merangsang aktiviti industri, kata seorang pakar.

Ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Wei Chuan Beng berkata ekonomi digital penting bagi Malaysia serta negara jiran lain dalam usaha membaskini kemiskinan melalui idea perkampungan digital untuk meningkatkan penjagaan kesihatan, pendidikan dan e-dagang.

“Selain itu, ekonomi digital juga boleh menjadi platform bagi kerajaan untuk menjadi lebih efektif dan cekap,” katanya semasa rancangan bual bicara CTGN-Bernama Belt and Road Special Joint Programme.

Terdahulu pada April, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan terus bekerjasama dengan China mengukuhkan kerjasama sedia ada dalam BRI dan mengembangkan kerjasama ekonomi dalam bidang pertumbuhan baharu seperti pembangunan hijau dan ekonomi digital.

Semasa lawatan tiga hari ke China, Anwar berkata Malaysia akan bekerjasama rapat dengan negara anggota Asean lain untuk memastikan Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China (ACFTA) memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

Beliau berkata ACFTA bukan sahaja akan mengukuhkan perdagangan dan pelaburan di rantau ini tetapi juga meluaskan manfaat ekonomi dengan kemasukan sektor baharu, iaitu ekonomi digital, ekonomi hijau, persaingan dan perlindungan pengguna, serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Sementara itu, mengenai peluang pelaburan, Presiden Beijing Belt and Road Cooperative Community Han Ye berkata masih terdapat banyak bidang untuk diteroka oleh kedua-dua negara selain kenderaan elektrik dan kesalinghubungan internet.

“Mungkin bidang-bidang ini berada di pelbagai peringkat pembangunan, tetapi sudah tentunya orang ramai akan berusahan gigih untuk meneroka bidang ini seperti ekonomi biru yang mana kedua-dua negara boleh melakukan pindahan teknologi, meningkatkan penyediaan makanan laut untuk kedua-dua negara dan juga untuk meningkatkan kebajikan daripada mata pencarian.

“Saya turut maklum bahawa aplikasi internet seperti Little Red Book juga sangat popular dalam kalangan anak muda di Malaysia.

“Jadi, mungkin di samping aplikasi popular seperti ini, saya rasa akan wujud peluang pelaburan bagi pihak China untuk melabur lebih banyak ke dalam pasaran Malaysia dan meneroka pasaran berpotensi besar ini dengan populasi yang semakin meningkat di negara anda,” katanya.

Selain projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), beliau berkata dua taman perindustrian, satu di China dan satu lagi di Malaysia, juga boleh menjadi pencapaian yang sangat baik dalam pelaburan BRI.

Pada masa ini, Malaysia dan China terlibat dalam beberapa kerjasama, termasuk projek ECRL bernilai RM75 bilion, yang dijangka siap pada Disember 2026 dan sedia untuk beroperasi pada Januari 2027.

Prof Madya Song Qingrun dari Beijing Foreign Studies University’s School of Asian Studies turut mengulas bahawa China telah memperoleh banyak manfaat daripada hubungan dua hala dan pembangunan ekonomi kedua-dua pihak di bawah rangka kerja BRI.

“Ini benar terutamanya pelaburannya dalam produk pembuatan kereta, produk telefon pintar mudah alih dan juga taman perindustrian melibatkan pihak China yang telah banyak melabur di Malaysia. China telah meraih sedikit keuntungan,” katanya.

China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia selama 14 tahun berturut-turut, dengan jumlah dagangan sebanyak RM488 bilion pada 2022.

Dari segi pelaburan, China merupakan pelabur langsung asing terbesar di Malaysia tahun lepas, dengan pelaburan sebanyak RM55.2 bilion.

Menurut statistik Kementerian Luar Negeri, jumlah eksport ke China meningkat 9.4 peratus kepada RM210.6 bilion pada 2022, manakala jumlah import dari China berjumlah RM276.5 bilion pada tahun yang sama, atau naik 20.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon