B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ekonomi digital, 41R, potensi yang belum dimanfaatkan dalam perdagangan Malaysia-China

Ekonomi digital, 41R, potensi yang belum dimanfaatkan dalam perdagangan Malaysia-China

14 Okt 2021

Ekonomi digital, Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan pelaksanaan pembangunan mampan adalah ‘bahagian utama dengan potensi ekonomi yang belum dimanfaatkan’ dalam perdagangan dua hala antara Malaysia dan China, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ketiga-tiga bahagian ini mempunyai potensi ekonomi yang belum dimanfaatkan walaupun pelaburan dan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara berkembang pesat sejak 2009, yang mana China terus menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia, menyumbang 18.6 peratus daripada jumlah perdagangan pada 2020.

Ismail Sabri berkata demikian dalam ucapan pembukaan beliau semasa majlis pembukaan Pameran Import dan Eksport China ke-130 (Pameran Canton) yang diadakan secara maya, di sini pada Khamis.

Menyentuh mengenai ekonomi digital, beliau berkata, Malaysia telah melancarkan inisiatif MyDIGITAL awal tahun ini untuk mempercepat lagi transformasi digital negara. 

Inisiatif tersebut yang disasarkan menarik pelaburan digital domestik dan juga antarabangsa bernilai US$17.32 billion (US$1= RM4.15), akan dilaksanakan menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, dan berfungsi sebagai sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk mempercepat kemajuan negara sebagai ekonomi maju dari segi teknologi menjelang 2030, katanya.

Mengenai 4IR, Ismail Sabri berkata, Malaysia telah memulakan usaha ke arah pendigitalan yang lebih meluas dengan lebih banyak usaha akan dilaksanakan seperti memanfaatkan sinergi kedua-dua dunia fizikal dan digital untuk meningkatkan daya saing Malaysia.

“Atas alasan ini, kami telah melancarkan 4IR, yang dibangunkan berdasarkan kepada pendekatan keseluruhan negara menerusi perkongsian rakyat-swasta-awam.

“Ini termasuk membangunkan prasarana yang bersandarkan 4IR bagi penggunaan teknologi lebih meluas di samping melaksanakan pendekatan kawal selia yang efektif, yang mana kesemuanya bertujuan memenuhi keperluan perniagaan dalam ekonomi digital serta mempercepat inovasi dan adapasi dalam teknologi,” katanya. 

Mengenai pelaksanaan pembangunan mampan, perdana menteri berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dibentangkan baru-baru ini, ‘kemampanan sumber tenaga telah dikenal pasti sebagai satu daripada faktor utama dalam dimensi pemerkasaan ekonomi’.

“Antara lainnya, dimensi ini termasuk ekonomi berpaksikan rakyat, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan menangani perubahan iklim,” katanya. 

Ismail Sabri berkata bahagian-bahagian itu telahpun menjadi tonggak dasar perdagangan dan ekonomi China selama bertahun-tahun ini dan ia juga diterapkan dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta Rancangan Lima Tahun Ke-14 China. 

“Malaysia, yang menjadi satu daripada antara negara pertama yang menyokong BRI yakin bahawa inisiatif strategik dan berpandangan kehadapan ini akan membuka lebih banyak peluang kesalinghubungan. 

“Kami percaya persefahaman bersama ini akan mewujudkan kemungkinan baharu bagi pertumbuhan dan pembangunan di seluruh Asia Pasifik, Afrika serta Eropah Tengah dan Eropah Timur,” katanya. 

Tahun lepas, eksport Malaysia ke China berkembang 11.1 peratus kepada US$37.77 bilion, dan China juga merupakan sumber import terbesar Malaysia, menyumbang 21.5 peratus daripada jumlah import. 

“Begitu juga dalam pelaburan, China telah menjadi pelabur utama di Malaysia dengan pelaburan berjumlah US$4.41 bilion tahun lepas dan kedudukan ini kekal selama lima tahun lepas sejak 2016,” katanya.  

Beliau juga berkata 71 projek pembuatan dari China diluluskan pada 2020 yang dijangka menjana lebih daripada 10,000 peluang pekerjaan di Malaysia. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X