B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Duopharma lihat semula kepada peluang M&A untuk kekal relevan dan berkembang

Duopharma lihat semula kepada peluang M&A untuk kekal relevan dan berkembang

21 Jun 2022

Duopharma Biotech Bhd akan terus melihat kepada peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) terutamanya di ASEAN untuk kekal relevan dalam jangka panjang dan berkembang.

Pengarah Urusan Kumpulan Leonard Ariff Abdul Shatar berkata syarikat berjaya menembusi pasaran Malaysia dengan bahagian pasaran sebanyak tujuh peratus walaupun sebagai pengeluar terbesar.

“Pasaran amat tidak bersepadu di Malaysia dan terdapat had dalam perkara yang boleh dicapai dalam pasaran ini. Bagi berkembang dalam jangka panjang, ia bukan hanya organik, justeru, kami perlu melihat kepada M&A.

“Bagi tempoh dua tahun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami sebenarnya menangguhkan untuk melihat kepada syarikat antarabangsa berikutan kami tidak selesa melaksanakan usaha wajar dalam talian, dan memberi tumpuan kepada sektor domestik.

“Bagaimanapun pada tahun ini, kami mula melihat di peringkat antarabangsa, terutamanya pasaran ASEAN, untuk potensi sasaran pengambilalihan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.

Selain daripada had pertumbuhan dalam pasaran Malaysia, syarikat turut melihat kepada mengimbangi portfolionya untuk mempunyai peratusan jualan yang lebih tinggi dalam denominasi di luar mata wang Malaysia, kata Leonard Ariff.

Katanya daripada jumlah bahagian syarikat untuk perniagaan pada masa ini, sebanyak 43 peratus disumbangkan oleh sektor kerajaan, 47 peratus lagi daripada swasta dan bakinya daripada eksport.

“Oleh itu, kami mahu meningkatkan komponen antarabangsanya dan ia adalah dalam bidang penjagaan kesihatan yang sebenarnya agak luas,” katanya.

Beliau berkata syarikat baru-baru ini melabur dalam syarikat permulaan tempatan, Naluri Hidup Sdn Bhd dalam usaha pendigitalannya dan sebagai sebahagian daripada Strategi Kesihatan Digitalnya, dirangka untuk mengenal pasti peluang yang membolehkan syarikat menyediakan penyelesaian terbaik dalam rantaian nilai penjagaan kesihatan.

“Satu perkara yang pandemik telah menunjukkan kepada kami ialah e-dagang merupakan sesuatu yang tidak akan hilang dan kami perlu mengetahui di mana Duopharma akhirnya akan sesuai dalam ekosistem segmen itu,” katanya.

Leonard Ariff berkongsi bahawa syarikat mempunyai pendedahan yang agak besar kepada sektor kerajaan melalui pelbagai tender dan antara yang besar ialah untuk ubat generik Senarai Pembelian Produk yang Diluluskan (APPL) seperti parasetamol, sirap batuk dan insulin, yang membentuk 40 peratus daripada jualan kerajaan.

“Kali terakhir kerajaan mengemukakan tender bagi tujuan itu ialah pada 2017 dan sejak itu ia telah dilaksanakan dengan tempoh pelaksanaan semasa yang tamat pada akhir Disember tahun ini.

“Bagi memperbaharuinya, saya berpendapat pasti akan ada cabaran daripada inflasi. Kali terakhir kami menender untuk perniagaan ini, kadar pertukaran pada sekitar 4.20 berbanding dolar AS tetapi kadar pertukaran hari ini pada sekitar 4.40 berbanding dolar AS,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa impak daripada inflasi import tidak khusus untuk Duopharma tetapi fenomena industri, yang berlaku kepada mereka yang terlibat dalam persekitaran perdagangan apabila sebahagian besar bahan mentah dalam denominasi dolar AS.

Bagi mengurangkan impak daripada kenaikan kos bahan mentah, katanya antara sebab syarikat memberi tumpuan untuk mempunyai peratusan jualan eksport yang lebih besar dalam portfolio keseluruhannya untuk bertindak sebagai lindung nilai semula jadi terhadap pembelian bahan mentah dalam dolar AS.

Beliau berkata Duopharma turut menyimpan stok bahan mentah yang tinggi, dari tiga hingga enam bulan, bergantung kepada produk dengan membeli ke hadapan, terutamanya semasa PKP dengan kebimbangan mengenai kesan rantaian bekalan yang wujud akibat pandemik.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon