B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Dasar Pandang ke Timur bantu Malaysia jadi negara industri, pacu tahap lebih tinggi – Azmin

Dasar Pandang ke Timur bantu Malaysia jadi negara industri, pacu tahap lebih tinggi – Azmin

11 Ogo 2022

Dasar Pandang Ke Timur (LEP) yang kini berusia 40 tahun, berjaya membantu Malaysia melakukan anjakan paradigma daripada berteraskan pertanian kepada sebuah negara perindustrian. 

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata dasar yang diperkenalkan pada 1982 dan diteruskan menerusi LEP 2.0 sejak 2013, akan turut memacu pembangunan negara ke tahap lebih tinggi serta mengutamakan teknologi baharu termasuk digitalisasi, robotik dan kecerdasan buatan (AI). 

Menurutnya, selain itu, bagi memastikan pembangunan ekonomi di Malaysia yang lestari, mampan serta dapat menjamin daya tahan rantaian bekalan ekoran pandemik COVID-19, Malaysia turut menggubal dasar pelaburan yang berteraskan kerangka agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

“Kita (Malaysia dan Jepun) akan akan memberi tumpuan untuk memperkukuh aspek integrasi ekonomi kita. Ini penting bagi Malaysia selaku sebuah negara dagang dan ekonomi kecil yang perlu melakukan dagangan dengan dunia.

“Ini adalah antara alasannya kita mengumumkan ratifikasi Perjanjian Perdagangan Bebas Perkongsian Ekonomi Konprehensif Serantau (RCEP) pada awal tahun ini. Kini, kalangan penggiat tempatan seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempunyai akses lebih besar, kapasiti serta mampu bersaing di peringkat global,” katanya kepada media selepas berucap di Seminar Perniagaan Bersempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, seminar anjuran kementerian itu juga bertujuan menyediakan platform bagi sektor kerajaan dan komuniti perniagaan untuk terlibat secara produktif, berkongsi amalan terbaik dan terus mengetengahkan tindak balas ekonomi dan komersial berkesan selain usaha menangani krisis dan keperluan lain. 

LEP telah diperkenalkan pada 8 Feb, 1982 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamed yang percaya bahawa etika kerja pekerja Jepun dapat dicontohi oleh warga kerja tempatan dalam membolehkan Malaysia muncul sebagai sebuah negara perindustrian. 

Selain LEP, Malaysia turut meraikan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik dengan Jepun.  

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata Malaysia juga sedang berusaha untuk membentuk satu standard ESG untuk dijadikan panduan bagi PKS di negara ini.

Menurutnya, ini menerusi pelbagai sesi libat urus dan input dengan negara-negara maju termasuk Jepun, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Australia, New Zealand khususnya melalui Rangka Kerja Indo-Pasifik (IPEF).

“IPEF juga telah bersetuju dengan cadangan Malaysia untuk memastikan pembangunan, pembinaan kapasiti dan bantuan teknikal diberi keutamaan. Ini bagi memastikan jurang penggunaan dan adaptasi automasi serta digitalisasi dapat dikurangkan selain melaksanakan pengurangan pengeluaran karbon dalam industri-industri termasuk PKS dalam negara anggota IPEF.

“Selain itu, kita juga perkenalkan banyak insentif supaya PKS dapat segera beralih kepada penggunaan teknologi hijau. Usaha ini akan kita teruskan agar dapat mencapai matlamat yang telah digariskan sebelum 2050,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon