B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Dagangan Malaysia-UAE dijangka catat peningkatan dua angka tahun depan

Dagangan Malaysia-UAE dijangka catat peningkatan dua angka tahun depan

22 Nov 2021

Perdagangan dua hala antara Malaysia-Emiriah Arab Bersatu (UAE) dijangka mencatat pertumbuhan dua angka dalam era pasca-pandemik pada tahun depan, kata Duta Besar Malaysia ke UAE Mohd Tarid Sufian.

Malah, beliau turut berkongsi rasa optimis bahawa prospek pertumbuhan pesat dagangan positif itu tidak  hanya membabitkan UAE, tetapi juga dengan negaranegara lain dalam kalangan anggota Majlis Kerjasama Teluk lain selepas pandemik.

“Walaupun pandemik COVID-19 berlaku, hubungan dagangan Malaysia-UAE berjaya mencatat pertumbuhan dua angka yang mencecah sehingga US$5 bilion tahun lepas.

“Atas alasan itu, kita menjangkakan pertumbuhan positif itu akan berulang pada tahun depan,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Minggu 8 Pavilion Malaysia @Ekspo Dubai 2020 yang dihoskan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Mohd Tarid berkata, Malaysia telah memanfaatkan peluang perdagangan dan pelaburan pada acara Ekspo Dubai 2020 yang menjadi platform bagi membolehkan syarikat-syarikat Malaysia mendapatkan peluang perniagaan.

Eksport Malaysia ke UAE merangkumi terutamanya produk elektrik dan elektronik, barang kemas, produk petroleum, jentera, peralatan dan komponen, makanan diproses, produk logam, produk berkaitan minyak sawit, bahan kimia dan produk berasaskannya, produk getah, peralatan pengangkutan dan tekstil.

Pada bulan lepas, Perdana Menteri  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia berjaya menjana lebih RM7.2 bilion potensi perniagaan dengan beberapa syarikat berpangkalan di luar negara dalam tempoh dua minggu pertama penyertaan di Ekspo 2020 Dubai.

Mohd Tarid juga menyifatkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang merangkumi Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis, sebagai gerbang ke Asia Tenggara untuk kalangan syarikat-syarikat multinasional yang berhasrat mengembangkan operasi masing-masing.

Menurutnya, NCER juga mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sejak penubuhannya sebagaimana dibuktikan oleh pelaburan syarikat-syarikat multinasional yang membawa bersama teknologi pembuatan terkini serta produk yang dipaten, sekali gus menyumbang kepada pemindahan pengetahuan serta teknologi berkaitan.

“NCER menawarkan tenaga kerja yang tersedia, berkemahiran tinggi serta berpendidikan, rangkaian logistik yang luas dan sofistikated bagi menyokong sektor-sektor ekonomi utama, budaya perniagaan yang berkembang pesat dan kehadiran syarikat-syarikat multinasional besar dengan rangkaian global dan jangkauan pasaran bagi melengkapkan ekosistem perniagaan,” katanya.

NCIA yang diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi Hasri Hasan, turut serta dalam Ekspo Dunia 2020 di Dubai, UAE, pada 21-27 Nov, 2021, bagi mengetengahkan peluang perdagangan dan pelaburan di NCER.

Penyertaan Malaysia di Ekspo Dubai 2020 Dubai melibatkan masing-masing sebanyak 21 kementerian kerajaan, 70 agensi kerajaan dan lima kerajaan negeri manakala kira-kira 300 syarikat mengambil bahagian dalam program perdagangan dan perniagaan mingguan.

Ekspo bertemakan ‘Menghubungkan Minda, Membentuk Masa Depan (Connecting Minds, Creating the Future) itu diadakan dari 1 Okt, 2021 hingga 31 Mac, 2022.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X