B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Dagangan Malaysia meningkat 13 peratus kepada RM180.96 bilion pada Jula

Dagangan Malaysia meningkat 13 peratus kepada RM180.96 bilion pada Jula

27 Ogo 2021

Prestasi perdagangan Malaysia meneruskan momentum peningkatannya pada Julai 2021 dengan mencatat pertumbuhan sebanyak 13 peratus tahun ke tahun kepada RM180.96 bilion – kenaikan dua digit untuk bulan keenam berturut-turut sejak Februari lepas.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), eksport turut berkembang sebanyak 5.0 peratus kepada RM97.32 bilion iaitu peningkatan tahun ke tahun untuk bulan kesebelas berturut-turut sejak September 2020 manakala import meningkat sebanyak 24 peratus kepada RM83.64 bilion.

“Lebihan dagangan menguncup sebanyak 45.8 peratus kepada RM13.68 bilion,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelas MITI, pertumbuhan eksport itu disokong oleh kenaikan eksport membabitkan keluaran petroleum, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit selain kimia dan bahan kimia yang dipacu oleh permintaan luar yang lebih kukuh.

Malah, eksport ke pasaran utama iaitu ASEAN, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun turut merekodkan pertumbuhan positif.

Dari segi perbandingan bulan ke bulan, import meningkat 0.5 peratus manakala perdagangan, eksport dan lebihan dagangan masing-masing berkurangan sebanyak 4.1 peratus, 7.7 peratus dan 38.5 peratus, kata MITI.

Bagi tempoh tujuh bulan pertama 2021, perdagangan meningkat sebanyak 23.9 peratus kepada RM1.237 trilion berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Eksport berkembang sebanyak 25.9 peratus kepada RM682.9 bilion, import naik 21.6 peratus kepada RM554.17 bilion manakala lebihan dagangan melonjak sebanyak 48.8 peratus kepada RM128.74 bilion.”

Tempoh Julai 2021 juga menyaksikan prestasi eksport sektor utama mencatat pertumbuhan.

Pada tempoh sama, eksport barangan perkilangan yang mewakili 85.1 peratus daripada jumlah eksport, naik 2.3 peratus tahun ke tahun kepada RM82.85 bilion.

“Eksport keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit telah mencatatkan kenaikan melebihi RM1 bilion.

Menurut MITI, eksport keluaran pertanian (syer/bahagian sebanyak 8.7 peratus) merekodkan pertumbuhan dua digit atau 29.2 peratus kepada RM8.47 bilion berbanding Julai 2020, disokong terutamanya oleh peningkatan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Selain itu, eksport hasil galian (syer/bahagian 5.8 peratus) meningkat 18.3 peratus tahun ke tahun kepada RM5.65 bilion iaitu kenaikan dua digit bagi bulan keempat berturut-turut yang turut disokong oleh kenaikan eksport gas asli cecair (LNG).

Merujuk prestasi dagangan membabitkan pasaran utama pada Julai lepas, MITI berkata perdagangan dengan ASEAN berkembang sebanyak 10.5 peratus tahun ke tahun kepada RM45.3 bilion yang menyumbang sebanyak 25 peratus kepada jumlah dagangan Malaysia.

Ini melibatkan peningkatan eksport sebanyak 7.9 peratus kepada RM27.65 bilion manakala import dari ASEAN menokok 14.7 peratus kepada RM17.65 bilion.

“Pada Julai 2021, perdagangan dengan China merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 15 peratus tahun ke tahun kepada RM33.89 bilion yang merangkumi 18.7 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia. Ini merupakan pertumbuhan dua digit untuk bulan kelapan berturut-turut.

“Eksport ke China susut sebanyak 8.1 peratus kepada RM14.34 bilion berikutan pengurangan eksport keluaran petroleum manakala import dari negara itu meningkat 40.9 peratus kepada RM19.54 bilion,” katanya.

Menurut MITI, perdagangan dengan Amerika Syarikat naik 1.8 peratus tahun ke tahun kepada RM17.79 bilion yang meliputi 9.8 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia manakala dagangan dengan EU yang merangkumi 8.3 peratus dari segi jumlah keseluruhan, meningkat sebanyak 19.7 peratus tahun ke tahun kepada RM14.94 bilion.

Dagangan dengan Jepun bagi Julai 2021 yang merangkumi 6.4 peratus daripada jumlah perdagangan negara ini, berkembang sebanyak 15.7 peratus tahun ke tahun kepada RM11.53 bilion.

“Eksport ke Jepun meningkat sebanyak 11.4 peratus kepada RM5.85 bilion iaitu pertumbuhan dua digit tahun ke tahun untuk bulan kelima berturut-turut sejak Mac 2021 yang disumbangkan oleh kenaikan eksport LNG.

“Import Jepun pula meningkat sebanyak 20.5 peratus kepada RM5.68 bilion.”

Selain itu, perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas yang merangkumi 64.5 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, juga meningkat 10.9 peratus tahun ke tahun kepada RM116.68 bilion, kata kementerian itu.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon