B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


CPTPP tidak beri impak negatif terhadap sektor pertanian negara

CPTPP tidak beri impak negatif terhadap sektor pertanian negara

01 Mac 2023

Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang diratifikasi Malaysia pada 30 September tahun lalu, tidak memberi impak negatif terhadap sektor pertanian negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong, berkata CPTPP sebaliknya menjamin hak dan kepentingan petani tempatan kerana ia adalah satu-satunya perjanjian perdagangan bebas (FTA) ditandatangani Malaysia yang mengiktiraf isu keterjaminan makanan.

Menerusi perjanjian itu, beliau berkata, kerajaan berhak melaksanakan larangan sementara eksport bagi produk makanan supaya ia mencukupi untuk kegunaan rakyat.

“Dakwaan bahawa perjanjian ini tidak membenarkan kerajaan melaksanakan larangan eksport makanan asas seperti ayam, adalah tidak benar.

“Selain itu, perjanjian CPTPP tidak akan menjejaskan program bantuan kerajaan, termasuk pemberian subsidi kepada pertanian untuk tujuan eksport,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Che Alias Hamid (PN-Kemaman) yang meminta kerajaan menyatakan pendirian berhubung isu CPTPP yang jelas memberi impak kepada sektor pertanian negara.

Seterusnya, Chin Tong berkata, CPTPP juga tidak akan mengakibatkan penghapusan menyeluruh duti import bagi barangan pertanian, secara mendadak.

Beliau menjelaskan, Malaysia memang bergantung pada import barangan pertanian yang mana lebih 50 peratus daripada keperluan tempatan seperti daging kambing dan lembu dipenuhi melalui sumber import.

“Bagi 2020, purata duti import bagi barangan pertanian ialah sekitar 13.8 peratus dan ia terus berkurangan kepada 7.9 peratus bagi 2021. Pada masa sama, Malaysia diberi tempoh pelaksanaan lebih panjang, iaitu 16 tahun lagi untuk tujuan pengurangan dan penghapusan duti import, termasuk bagi barangan pertanian.

“Tambahan pula, Malaysia tidak perlu menghapuskan sepenuhnya duti import bagi ayam, telur dan beberapa produk lain bawah CPTPP, serta masih boleh mengekalkan sistem kuota kadar tarif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, sektor pertanian termasuk komitmen berkaitan dalam perjanjian FTA yang lain, adalah bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) sama ada kerajaan bercadang meratifikasi FTA baharu dalam masa terdekat pula, Chin Tong memaklumkan setakat ini, tiada sebarang perancangan untuk berbuat demikian.

“Buat masa ini, belum ada apa-apa keputusan untuk meneruskan perbincangan FTA baharu walaupun ada yang berminat menandatanganinya dengan Malaysia.

“Dari segi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan CPTPP, kenapa kerajaan terdahulu dan sekarang meneruskan pembabitan Malaysia dalam dua sistem ini… ia adalah kerana sistem perdagangan dunia sudah berubah,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon