B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Coraza manfaat permintaan semikonduktor

Coraza manfaat permintaan semikonduktor

20 Jan 2022

Penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan bersepadu, Coraza Integrated Technology Bhd (Coraza) bakal mengambil kesempatan daripada peningkatan permintaan untuk semikonduktor.

Ia memandangkan tiada tanda penurunan dari segi perbelanjaan atau perluasan oleh pelanggan, di sebalik ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19.

Syarikat itu mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities hari ini, mengumpul dana sebanyak RM33 juta daripada terbitan awam sebanyak 117.8 juta saham baharu pada harga terbitan 28 sen sesaham.

Pada pembukaan, harga saham Coraza meningkat lebih dua kali ganda pada 70 sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 28 sen.

Penyenaraian Coraza turut merangkumi tawaran penjualan 21.4 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian.

Berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 428.3 juta saham, permodalan pasaran Coraza selepas disenaraikan adalah sebanyak RM119.9 juta.

Pengarah Urusannya, Lim Teik Hoe percaya bahawa COVID-19 akan membawa impak positif terhadap industri semikonduktor dari segi jangka panjang, dengan ramai kini bergerak ke arah pendigitalan dan penggunaan teknologi baharu.

“Coraza menyediakan sokongan kejuruteraan bersepadu kepada pelanggan, kebanyakannya syarikat multinasional besar yang juga peneraju pasaran dalam bidang masing-masing dan membabitkan industri yang memiliki pertumbuhan tinggi seperti semikonduktor, instrumen, sains hayat dan peranti perubatan, telekomunikasi, aeroangkasa serta elektrik dan elektronik.

“Dalam tempoh dua tahun ini, syarikat menyaksikan pertambahan pertanyaan dan tempahan daripada pelanggan sedia ada dan juga yang berpotensi dari seluruh sektor pasaran, khususnya sektor semikonduktor dari dalam negara dan juga ibu pejabat global mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai prospek syarikat, Teik Hoe berkata Coraza merancang untuk menggandakan ruang lantai kilangnya bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah bagi perkhidmatan syarikat.

“Syarikat akan pertama sekali meluaskan kilang sedia ada bagi menempatkan mesin baharu dan perluasan itu dijangka siap bulan ini,” katanya.

Selain daripada itu, beliau berkata Coraza berhasrat untuk membina kilang baharu bertentangan dengan kilang sedia adanya di Nibong Tebal, Pulau Pinang bagi menambah keupayaan pengeluaran dan membolehkan ia menyediakan perkhidmatan baharu kepada pelanggan di masa hadapan.

Katanya, pembinaan kilang baharu ini akan dijalankan dalam tiga fasa, dan disasarkan untuk siap menjelang Disember 2023.

“Bergerak ke hadapan, kami positif terhadap prospek dengan syarikat terus meneguhkan kecekapan dan daya saing di seluruh segmen perniagaan teras yang kami beroperasi,” tambah beliau.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon