Colorcon labur RM230 juta bina kilang di Johor - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Colorcon labur RM230 juta bina kilang di Johor

Colorcon labur RM230 juta bina kilang di Johor

06 Jun 2023

Colorcon Inc menerusi anak syarikatnya, Colorcon Malaysia Sdn Bhd akan melabur hampir AS$50 juta (RM230 juta) untuk membina kemudahan pembuatan pertama syarikat itu di Asia Tenggara di Taman Perindustrian i-TechValley, Kluster Perindustrian Logistik Selatan (SILC) di Iskandar Puteri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han, berkata syarikat Colorcon Inc adalah peneraju global dalam pembangunan, bekalan dan sokongan teknikal bagi bahan spesifik untuk sistem salutan filem serta teknologi pelepasan perubatan dan eksipien untuk industri farmaseutikal, pemakanan dan kesihatan haiwan.

“Kemudahan pembuatan baharu di i-TechValley seluas 90,000 kaki persegi adalah fasiliti ke-12 syarikat di dunia dan fasiliti pertama di Malaysia yang dapat menghasilkan produk salutan filem yang boleh dirumus khusus, antaranya untuk keperluan aplikasi dan peraturan farmaseutikal,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Ting Han berkata, mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), nilai import produk yang dihasilkan Colorcon Inc untuk kegunaan pasaran Malaysia berjumlah kira-kira RM23 juta pada tahun lalu.

“Dengan siapnya fasiliti ini menjelang Julai 2025, kita akan dapat mengurangkan kebergantungan import produk, malah membantu Malaysia menjadi hab pengeluaran produk farmaseutikal yang dihasilkan oleh Colorcon untuk memenuhi keperluan sektor farmaseutikal dan pemakanan di Asia Tenggara, Australia, New Zealand, Korea, Taiwan dan Pakistan.

“Amat menggalakkan untuk melihat sebuah syarikat berteknologi tinggi memilih I-Tech Valley, sebuah taman perindustrian bersepadu di zon ekonomi Iskandar Malaysia untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Menurut Ting Han, kehadiran Colorcon akan membantu meletakkan Johor di peta dunia dan membantu usaha kerajaan negeri dan persekutuan untuk menarik lebih banyak syarikat berkaitan dalam sektor farmaseutikal ke negeri ini.

Pelaburan daripada Colorcon akan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi pada 2025, katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon