Cognizant sedia pekerjaan bergaji tinggi di Malaysia - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Cognizant sedia pekerjaan bergaji tinggi di Malaysia

Cognizant sedia pekerjaan bergaji tinggi di Malaysia

19 Mei 2023

Cognizant, pemimpin global dalam industri perkhidmatan profesional memperkukuhkan operasi di Malaysia dengan membuka Hab Serantau di Greater Kuala Lumpur.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Cognizant Malaysia mempunyai rancangan yang menarik di negara ini termasuk mewujudkan 5,000 pekerjaan baharu menjelang 2026 untuk diisi oleh rakyat negara ini.

“Saya difahamkan bahawa majoriti daripadanya adalah pekerjaan berkemahiran tinggi, berpendapatan tinggi,” katanya berucap pada majlis pelancaran Hab Serantau Cognizant Malaysia di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, Cognizant juga akan membangunkan Makmal Pengalaman Inovasi di Malaysia yang direka bentuk untuk pelanggan serantau dan global mereka merasai sendiri teknologi serta penyelesaian syarikat itu.

“Ketiga, penubuhan Pusat Kecemerlangan khusus di Malaysia bagi teknologi platform awan bersama AWS (Amazon Web Services). Ini, saya diberitahu, akan memacu transformasi awan di Malaysia dan seluruh rantau ini,” katanya.

Bermula dengan satu pasukan kecil terdiri daripada 32 pekerja pada 2014, Cognizant Malaysia telah berkembang menjadi tenaga kerja seramai 2,000 orang yang menyampaikan penyelesaian digital canggih ke seluruh rantau ini.

Tengku Zafrul berkata, kehadiran Cognizant yang semakin berkembang adalah bukti kepada kedudukan Malaysia yang mudah untuk menjalankan perniagaan, asas ekonomi mantap yang menyokong dasar pro-industri, pro-perdagangan dan pro-pelaburan MITI.

Beliau berkata, ia juga pengesahan bahawa Malaysia adalah destinasi pelaburan yang berdaya saing di rantau ini selain keupayaan Greater Kuala Lumpur untuk menarik syarikat-syarikat global utama mengembangkan kehadiran serantau masing-masing.

“Ini, pastinya adalah hasil usaha berterusan kerajaan untuk membina landskap kondusif bagi perniagaan untuk berkembang di Malaysia,” katanya.

Hab Serantau Cognizant Malaysia akan menjadi lokasi kepada Makmal Pengalaman Inovasi, Pusat Kecemerlangan Cognizant-AWS, Pusat Kecemerlangan Jaminan dan Kualiti Kejuruteraan serta Pusat Penyampaian Luar Pesisir.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon