B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Citaglobal, firma Indonesia rancang projek tenaga bateri

Citaglobal, firma Indonesia rancang projek tenaga bateri

09 Jan 2023

Citaglobal Bhd menjalin kerjasama strategik dengan PT Industri Baterai Indonesia atau Indonesia Battery Corporation (IBC) untuk cadangan pembangunan kilang pembuatan sel bateri dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).

Kerjasama Citaglobal, yang dulunya dikenali WZ Satu Bhd dengan IBC itu termasuk pembangunan, reka bentuk dan pembinaan kemudahan ‘turnkey’ pengilangan bersepadu untuk sel bateri, modul dan pek.

Ia juga merangkumi pembangunan penyelesaian bersepadu BESS dan pemindahan teknologi dan pengetahuan berkaitan untuk pembangunan loji bateri dan BESS.

Kedua-dua syarikat memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang diadakan di sini dengan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dalam lawatan rasmi pertamanya ke Indonesia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri.

MoU itu adalah petanda baik untuk kedua-dua pihak, yang mempunyai rancangan strategik dan fokus untuk berkembang secara bermakna ke dalam segmen tenaga boleh diperbaharui.

Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria, berkata

meningkatkan storan bateri adalah penting untuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui sama ada di Malaysia atau Indonesia.

Beliau yang juga pemegang saham utama Citaglobal berkata, Suruhanjaya Tenaga Malaysia sudah memaklumkan hasrat untuk mengguna pakai sehingga 500 megawatt (MW) teknologi storan bateri.

Katanya, dengan lokasi Malaysia yang strategik untuk potensi tenaga solar yang tinggi, kerajaan sangat proaktif dalam memilih kawasan yang sesuai untuk penggunaan tenaga solar, terutamanya untuk Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri.

“Kami berbesar hati dan mengharapkan kerjasama yang produktif dan membuahkan hasil dengan IBC.

“Kerjasama merentas negara akan membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan kepakaran masing-masing dan mempercepatkan proses meningkatkan sumber tenaga rendah karbon,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden Pengarah IBC, Toto Nugroho, berkata pihaknya mengalu-alukan Citaglobal sebagai rakan kongsi untuk meningkatkan daya saingnya menjadi peserta utama dalam ekosistem bateri dan kenderaan elektrik.

Beliau berkata, di IBC, misinya adalah untuk menyokong pertumbuhan kenderaan elektrik nasional supaya ia boleh menjadi pusat pengeluaran di ASEAN.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan rakan kongsi global dalam mencapai matlamat kami,” katanya.

MOU itu berkuat kuasa serta-merta dari tarikh pelaksanaan dan akan terus berkuat kuasa dalam tempoh setahun akan datang.

Buat masa ini, pasaran global untuk kenderaan elektrik berkembang secara berterusan pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 21.7 peratus.

Bateri adalah salah satu komponen kos utama untuk kenderaan elektrik, membentuk kira-kira 35 peratus daripada kos berkenaan pada masa ini.

Pada Oktober 2022, Citaglobal memeterai perjanjian kerjasama dengan Genetec Technology Bhd untuk kerjasama pelbagai sudut dan eksklusif serta pengaturan kerjasama strategik meluas berhubung pembangunan BESS bagi menyimpan dan mengurus lebihan kuasa ketika penjanaan tenaga boleh diperbaharui menerusi syarikat tujuan khas berdasarkan perkongsian 50:50 antara pihak.

Disenaraikan pada 2 Januari 2008, Citaglobal ialah kumpulan dengan pelbagai aliran hasil dan ia kini terbabit dalam tenaga, infrastruktur telekomunikasi, kejuruteraan awam dan pembinaan, pembuatan dan hartanah.

Sementara itu, IBC pula ditubuhkan oleh empat perusahaan milik negara Indonesia iaitu PT Aneka Tambang Tbk (ANTAM), Industri Perlombongan Indonesia (MIND ID), Perusahaan Listrik Negara (PLN) dan PT Pertamina.

Ia beribu pejabat di Jakarta dengan visi memaksimumkan sumber asli Indonesia melalui pembangunan kenderaan elektrik bateri dan ekosistem industri bateri di republik itu.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon