B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


China kekal rakan pelaburan utama negara sejak empat tahun lalu

China kekal rakan pelaburan utama negara sejak empat tahun lalu

22 Feb 2021

China kekal menjadi pelabur asing terbesar Malaysia dalam sektor pembuatan untuk empat tahun berturut-turut sejak 2016.

Timbalan Pengarah Kanan Promosi Pelaburan Asing Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), May Lim Ming Yee, berkata republik itu juga terus mengungguli dalam kedudukan pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan di Malaysia untuk sembilan bulan pertama 2020.

Katanya, dari Januari hingga September 2020, MIDA telah meluluskan 58 projek pembuatan membabitkan penyertaan China yang bernilai RM16.77 bilion.

“Di sebalik kesan buruk daripada pandemik COVID-19 terhadap corak pelaburan global, China terus menjadi rakan FDI paling utama negara.

“Dalam tempoh empat tahun ini, MIDA telah meluluskan 172 projek dengan jumlah pelaburan sebanyak RM43.6 bilion yang menyediakan lebih 40,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi webinar dalam talian MIDA anjuran Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) mengenai ‘Kemas Kini Pelaburan China di Malaysia dan Dasar Pelaburan Terkini 2021’ hari ini.

Sesi itu turut disertai Penolong Pengarah Promosi Pelaburan Asing MIDA, Por Yee Yun.

Dalam pada itu Yee Yun berkata, banyak syarikat teknologi China menunjukkan minat yang mendalam untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran luar.

Katanya, China kini sedang mengukuhkan tumpuan mereka ke dalam empat sektor teknologi iaitu tenaga boleh diperbaharui, internet segalanya (IoT), peranti perubatan dan teknologi pengguna.

“Sehubungan itu, syarikat China mahu memastikan yang operasi mereka mendapat sokongan daripada keperluan pasaran yang mereka sasarkan.

“Mereka boleh memanfaatkan Malaysia sebagai hab serantau operasi di ASEAN yang mana kita menyediakan kelebihan seperti kesamaan kebudayaan memandangkan ramai rakyat negara ini mampu membaca, menulis dan bercakap pelbagai bahasa dengan fasih.

“Selain itu, Malaysia juga menawarkan tenaga kerja mahir, persekitaran kompetitif dari segi kos untuk menjalankan perniagaan, akses mudah ke pasaran ASEAN dan mendapat sokongan kukuh daripada agensi kerajaan seperti MIDA bagi memudah cara syarikat asing menubuhkan operasi mereka di sini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon