B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Buka semula sempadan bolehkan pelancong perubatan kembali ke Malaysia – APHM

Buka semula sempadan bolehkan pelancong perubatan kembali ke Malaysia – APHM

09 Feb 2022

Pembukaan semula sepenuhnya sempadan negara akan membolehkan pelancong perubatan kembali ke Malaysia bagi menjalani rawatan di hospital selepas ia terhenti sejak awal 2020.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh, berkata langkah itu juga bakal membantu memulihkan sektor pelancongan perubatan yang telah menjana sebanyak RM1.7 bilion kepada negara pada 2019.

Beliau memaklumkan, APHM mempunyai keahlian 151 hospital di seluruh negara dengan majoritinya merawat pelancong perubatan, terutama dari negara jiran.

“Bagaimanapun, hospital swasta akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung ujian saringan sebelum menerima pelancong perubatan untuk menjalani rawatan.

“Kami akan menerima pelancong perubatan yang sudah lengkap vaksinasi dengan dos penggalak (sebaik-baiknya) supaya kurang risiko untuk mereka mengalami sakit teruk jika berlaku jangkitan COVID-19 ketika menjalani rawatan, dan seterusnya melindungi penyedia penjagaan kesihatan tempatan kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media semalam melaporkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka semula sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib, seawal 1 Mac depan.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipetik berkata bagaimanapun pembukaan sempadan kepada semua negara itu perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

Dalam pada itu, Dr Kuljit berkata, hospital swasta di negara ini bersedia menerima pesakit dari hospital awam sekiranya berlaku lonjakan kemasukan pesakit varian Omicron di fasiliti kerajaan.

Beliau berkata, ketika kemuncak kes COVID-19 varian Delta pada tahun lalu, sebanyak 113 hospital swasta menerima pesakit dari 49 hospital KKM.

“Kami berkeyakinan meneruskan sokongan kepada kerajaan untuk meringankan beban sebagaimana disebut oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dalam ucapannya pada 7 Februari lalu.

“Hospital swasta telah dimasukkan ke dalam Pasukan Petugas Bertindak Pantas COVID-19 (RRTF) Kebangsaan bagi memudahkan proses ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Kuljit berkata, APHM menggesa orang ramai agar segera mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19.

“Sudah terbukti di seluruh dunia bahawa vaksinasi lengkap dengan dos penggalak berjaya mengurangkan kesan lebih teruk pandemik itu, dan membantu menggalakkan pemulihan ekonomi dengan pembukaan sempadan antarabangsa,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon