B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Bekalan tenaga elektrik dari Sarawak pacu pembangunan Sabah – Hajiji

Bekalan tenaga elektrik dari Sarawak pacu pembangunan Sabah – Hajiji

06 Ogo 2021

Perjanjian antara Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan anak syarikat Sarawak Energy Berhad (SEB), Syarikat SESCO Bhd, akan menyaksikan pengimportan bekalan elektrik 30MW bagi tempoh 15 tahun sebagai permulaan menerusi talian transmisi litar berkembar 275kV sejauh 31km dari Lawas di Sarawak hingga ke Mengalong di Sabah.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata ia merupakan perjanjian bagi mengimport bekalan elektrik dari Sarawak dalam usaha memacu pembangunan negeri sebagaimana yang digariskan menerusi rancangan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau berkata sambungan itu dijangka bermula pada akhir 2023 setelah peluasan grid di bawah Agenda Utara Sarawak Energy menghubungkan Miri dengan bandar-bandar di utara Sarawak, yakni Limbang dan Lawas.

“Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif itu kerana ia akan memacu sistem bekalan tenaga Sabah.. bekalan elektrik yang stabil amat penting kearah memastikan kejayaan agenda pembangunan SMJ yang berpaksikan kepada tiga teras utama yakni pertanian, industri dan pelancongan,” katanya semasa dalam ucapan yang disampaikan secara maya di sini.

Terdahulu beliau bersama Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyaksikan majlis menandatangani perjanjian mengenai pertukaran tenaga dan kesalingsambungan secara maya, antara kedua-dua syarikat berkenaan.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili dan CEO SESB Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid dalam satu majlis yang turut disaksikan oleh Pengerusi SESB Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Hajiji berkata perjanjian itu juga merupakan langkah pertama yang amat penting kearah merealisasikan matlamat bersama inisiatif Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) bagi menampilkan sambungan infrastruktur dalam kalangan negara-negara Asean menerusi Asean Power Grid (APG) yang akan menambah baik tahap ekonomi semua negara terlibat.

Ketua Menteri berkata bekalan elektrik yang lebih stabil akan terus meningkatkan pelaburan tempatan dan asing selain menyokong pertumbuhan pekilangan industri dan sektor huluan, di samping mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor industri ringan dan berat.

Lebih penting lagi, katanya ia akan meningkatkan taraf sosio ekonomi, terutama di kawasan luar bandar.

“Menerusi perjanjian ini, kerajaan negeri berharap ia akan mengeratkan kerjasama antara Sabah dan Sarawak, di samping memupuk kerjasama lebih kukuh di masa akan datang yang akan memberikan manfaat kepada kedua-dua negeri, dan penduduknya,” katanya.

Hajiji berkata perjanjian itu selaras dengan wawasan SESB untuk menjadi syarikat bekalan tenaga yang efektif, boleh dipercayai, dan pemangkin kepada pembangunan Sabah.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X