B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Barry Callebaut bekalkan ramuan coklat, koko RM2 bilion di Malaysia

Barry Callebaut bekalkan ramuan coklat, koko RM2 bilion di Malaysia

11 Jan 2023

Pengeluar terkemuka dunia bagi produk coklat dan koko berkualiti tinggi, Barry Callebaut yang membekalkan produk bernilai kira-kira RM2 bilion dari Malaysia ke 57 negara optimistik terhadap pertumbuhan syarikat.

Pengarah Urusan Barry Calleaut di Malaysia, Robert Kotuszewki berkata ia akan terus melabur untuk pengembangannya berdasarkan permintaan kukuh di sini dan di rantau ini.

“Pasaran semakin berkembang. Purata pertumbuhan industri (tahunan) adalah antara dua dan empat peratus dan kami sentiasa berada melepasi paras berkenaan. Kami perlu melabur untuk berkembang,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Pusat Kecemerlangan Perniagaan Asia Pasifik (APAC BEC) syarikat itu di sini, hari ini.

Kotuszewki berkata, Barry Callebaut berada di Malaysia selama lebih 30 tahun dengan pelaburan kira-kira RM1.3 bilion di sini.

Ia juga yakin terhadap kestabilan politik dan kumpulan pekerja berkemahiran Malaysia.

Syarikat itu mempunyai lebih 600 pekerja di dua lokasi pembuatan dan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Pasir Gudang dan Pelabuhan Klang.

APAC BEC ialah pelaburan penting dengan lebih 100 pekerja dengan rancangan untuk meningkatkannya sehingga 150 pekerja pada beberapa bulan akan datang.

“Malaysia ialah hab penting untuk Asia Pasifik dan negara pertama yang dipilih syarikat untuk menubuhkan APAC BEC, hasil daripada asas pembuatan yang kukuh, kepelbagaian budaya dan bakat (pekerja berkemahiran) untuk membantu syarikat itu merentas pasaran serantau.

“APAC BEC akan menyediakan sokongan merentas perkhidmatan kewangan dan perakaunan syarikat, pengurusan maklumat dan teknologi, perkhidmatan pelanggan serta fungsi korporat dan perkhidmatan kongsi yang lain.

“Ia juga akan membantu meningkatkan pengalaman pelanggan melalui penyeragaman dan kebolehskalaan proses,” katanya.

Penggunaan tahunan coklat per kapita rakyat Malaysia adalah kira-kira 0.5 kilogram dan mempunyai peluang mencatatkan pertumbuhan, katanya.

Kotuszewki berkata, pasarannya termasuk pengilang gula-gula dan makanan, ia juga rakan kongsi penyumberan luar untuk pengeluar makanan Malaysia yang mencari produk berkualiti tinggi.

Jumlah jualan gula-gula coklat di Malaysia meningkat 12.7 peratus pada 2021 dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 3.4 peratus antara 2016 dan 2021, katanya.

Hampir 85 peratus pekerjanya termasuk mereka yang bekerja secara tidak langsung, pembekal dan penyedia perkhidmatan adalah rakyat Malaysia.

Syarikat itu menyediakan peluang kerja yang besar kepada lebih 500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon