B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


ATP, Honeywell meterai MoU sedia perkhidmatan MRO untuk APU pesawat C130

ATP, Honeywell meterai MoU sedia perkhidmatan MRO untuk APU pesawat C130

30 Mac 2022

Penyedia teknologi menggunakan perisian, Honeywell International Inc menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Airod Techno Power Sdn Bhd (ATP) untuk menyediakan perkhidmatan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) tempatan bagi unit kuasa tambahan (APU) pesawat C130.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua syarikat berkata mereka turut berhasrat menawarkan sokongan teknikal dan rangkaian rantaian bekalan ke atas produk lain Honeywell dan pembekalan barang ganti untuk platform pesawat C130 sedia ada yang dikendalikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Kerjasama baharu yang dirancang ini, dengan diperkasa kepakaran dan kecekapan tiada tandingan oleh Honeywell dan ATP, akan memanfaatkan ATP sebagai (pengendali) enjin dan komponen MRO terkemuka di peringkat serantau.

“MoU berkenaan akan menetapkan satu lagi asas kepada ATP untuk mengembangkan kemampuannya dalam komponen MRO,” menurut kedua-dua pihak.

MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif ATP, Mejar Jeneral Datuk Ismail Ibrahim, manakala Honeywell diwakili Pengarah Kanan Penerbangan Komersial Asia Pasifik Honeywell Aerospace, Sathesh Ramiah pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, ATP terus meningkatkan pelaburannya dalam infrastruktur, teknologi baharu, sumber dan keupayaan dalam usahanya untuk memperkukuh jangkauan pasaran.

Diperbadankan pada 1995, ATP merupakan pusat penyelenggaraan berdaftar Rolls-Royce yang diperakui bagi enjin T56/501 pesawat C-130/L-100. Syarikat itu juga merupakan Pusat Perkhidmatan Lockheed yang diperakui bagi pertukaran enjin pantas.

Acara dwitahunan DSA selama empat hari di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur yang diadakan serentak dengan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia), akan berakhir esok.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon