B. Malaysia

|

|

This site
is mobile
responsive


ASEAN perlu tingkat pembangunan digital untuk perniagaan kecil, individu

ASEAN perlu tingkat pembangunan digital untuk perniagaan kecil, individu

17 Jan 2021

ASEAN perlu membina ekosistem ekonomi baharu dengan menggalakkan pembangunan infrastruktur digital yang dapat diakses perniagaan kecil dan individu untuk memperkukuh usaha pemulihan ekonomi dan memacu pertumbuhan berterusan serta menyeluruh.

Kedutaan Thailand di Malaysia berkata ia dapat membantu kumpulan itu menjadi sebahagian ekonomi digital yang berkembang di rantau ini, dianggarkan menyumbang lebih US$240 bilion dalam lima tahun akan datang.

“Di pihak kami, Thailand sedang membangunkan “Hub Digital ASEAN “, yang akan membantu meningkatkan infrastruktur digital di ASEAN, dan juga” Digital Park Thailand “, sebagai sebahagian Koridor Ekonomi Timur. 

“Sektor swasta akan memainkan peranan penting dalam pembangunan infrastruktur dan teknologi dan inovasi perniagaan melalui pelaburan PPP (Perkongsian Awam-Swasta),” kata kedutaan menerusi email kepada Bernama sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama ( ADGMIN1) yang dipengerusikan Malaysia minggu depan.

Kedutaan berkata selain membina infrastruktur fizikal, promosi integrasi digital juga penting untuk meningkatkan peluang perniagaan di rantau ini.

Pada 2019, ASEAN berjaya menyelesaikan operasi langsung Tingkap Tunggal ASEAN (ASW) untuk semua negara anggotanya, yang dianggap sebagai satu pencapaian penting.

ASW, menyediakan teknologi maklumat terjamin dan kerangka undang-undang yang membenarkan pertukaran data perdagangan, pengangkutan, dan komersial secara elektronik di antara agensi kerajaan dan sektor swasta di rantau ini.

“Tetapi ASEAN perlu melihat di luar ruang lingkup Tingkap Tunggal ASEAN dan berusaha ke arah pendigitalan sepenuhnya untuk menjadi” Digital ASEAN “. Ini melibatkan promosi kesalinghubungan pembayaran dan perdagangan digital yang meluas,” tambahnya.

Kedutaan berkata kerajaan Thailand membangunkan Pelan Induk Ekonomi Digital Nasional bagi tempoh 20 tahun dan beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa undang-undang dan peraturan baharu dilancarkan untuk menyokong pelaksanaan dasar ekonomi digitalnya.

Menurutnya, pada 2018, dianggarkan sekitar 17 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand disumbangkan ekonomi digital. Ia dijangka meningkat kepada 25 peratus pada 2027.

Nilai pasaran ekonomi digital Thailand dianggap kedua terbesar di ASEAN, katanya.

Sementara itu, kedutaan berkata Thailand dan negara ASEAN lain mengakui peri pentingnya teknologi dan peningkatan transformasi digital, terutama penggunaan teknologi digital untuk mengatasi kesan pandemik COVID-19.

“Isu perbezaan digital sentiasa menjadi antara elemen penting dalam Pelan Induk ICT ASEAN. ASEAN berkomitmen untuk mengatasi pelbagai kekurangan digital dalam kemahiran, infrastruktur, dan undang-undang di seluruh ASEAN, serta risiko dan cabaran dihadapi digitalisasi, ” tambahnya.

Menurut kedutaan ADGMIN1 minggu depan, ASEAN berpeluang berbincang dan berkongsi pengalaman mengenai tindak balas terhadap cabaran yang muncul dalam spektrum digital, terutama dalam landskap sosioekonomi pandemik COVID-19 ketika ini.

Situasi COVID-19 memberi peluang kepada rantau ini  menyegerakan transformasi digital yang inklusif, membuka lebih banyak ruang serta peluang ASEAN melakar kejayaan pada masa depan.

“Kami ingin menekankan kepentingan teknologi digital dalam mencapai pertumbuhan ekonomi inklusif, berdaya tahan, dan mampan di rantau ini. Thailand menantikan Pelan Induk Digital ASEAN 2025 diterima pakai yang menjadi hala tuju ASEAN mencapai visi itu,” katanya.

Pelan Induk Digital ASEAN 2025 dijangka diterima pakai pada ADGMIN1.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah akan mempengerusikan ADGMIN1 melalui sidang video dari 21 hingga 22 Januari.

Bertemakan “ASEAN: A Digitally Connected Community”, mesyuarat itu bertujuan memperkukuh kerjasama ASEAN ke arah membangun ekosistem digital sebagai tonggak dalam rancangan pembangunan pasca-COVID-19.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X